Halaman

06 July 2012

Harga buku serendah RM1 di PDT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir di Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pesta buku itu akan berlangsung selama tujuh hari iaitu bermula semalam hingga 11 Julai di Pusat Dagangan Terengganu (PDT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

Lebih 30 pengedar dan pengusaha kedai buku akan mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing dengan anggaran harga serendah RM1 hingga RM50 senaskah.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bersetuju mengadakan program seumpama ini sekurang-kurangnya tiga kali dala tempoh setahun berikutan mendapat sambutan cukup mengalakkan.

“Pada pengalaman lepas, orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.





05 July 2012

Terengganu paling ramai keluar dari e-Kasih

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu muncul negeri berjaya mengeluarkan peserta dalam senarai e-Kasih paling tinggi apabila lebih 14,000 daripada 43,000 golongan itu keluar dari paras kemiskinan bermula 2008 hingga Jun tahun ini.

“E-kasih bertambah setiap hari akibat penceraian, kemiskinan dan masalah rumah tangga. Kerajaan negeri sentiasa peka dan mengambil inisiatif secara intensif bagi memastikan peserta e-Kasih dapat dikurangkan dari masa ke semasa.


“Menerusi program dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga, Yayasan Pembangunan Usahawan, bantuan membaiki rumah dan membina baru antara faktor yang mendorong kejayaan peserta e-Kasih keluar dari paras kemiskinan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad, di sidang akhbar selepas merasmikan Program Selendang Biru Semarak kasih Parlimen Marang, di Dataran Alor Limbat, Marang, hari ini.

Turut Hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Haji Alias Abdullah.

Dalam perkembangan berbeza, menurut Dato’ Yahya, pihaknya akan memastikan 50 hingga 100 daripada 2,000 ibu tunggal di Marang yang tersenarai sebagai penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lagi menerima bantuan itu menerusi pembabitan dengan bidang perniagaan yang dapat menambah pendapatan dan mengubah taraf hidup mereka kelak.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengeluarkan 10 hingga 15 peratus golongan ibu tunggal daripada setiap parlimen di negeri ini daripada menerima bantuan bulanan JKM itu.







Promosi Tasik Kenyir secara berterusan

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan terus mengekalkan program pertandingan ayam serama di dalam kalendar aktiviti tahunan agensi itu kerana mendapat sambutan menggalakkan.

Pengurus Besarnya, Encik Wan Mat Amin Wan Daud berkata, aktiviti yang diadakan di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir itu berjaya menarik ramai peserta dari dalam dan luar Terengganu.

“Peserta makin bertambah setiap kali pertandingan diadakan dan ini sekali gus dapat mempromosikan Tasik Kenyir sebagai sebuah tasek buatan manusia terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Katanya, Ketengah turut melaksanakan beberapa aktiviti di kawasan berkenaan dalam usaha menarik pelancong dari dalam dan luar negara datang melihat keunikan dan keindahan tasek itu.

“Ini bertepatan bila kerajaan negeri sedang membangunkan 10 pulau antaranya taman orkid, taman burung dan akan mewartakan sebagai kawasan bebas cukai tidak lama lagi,” katanya.




PPK perlu jadi agen tranformasi

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap daerah sewajarnya bertindak sebagai agen tranformasi supaya ahli-ahli peladang di negeri bijak dan berani mencuba perkara baru.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), Wan Zakaria Abdul Rahman, berkata mereka sewajarnya terlibat secara langsung dalam membangunkan projek-projek pertanian berskala besar dan komersial.

Katanya, pada masa sama, PPK perlu memantapkan dan memperkukuhkan rantaian nilaian pengeluaran hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani dan ahli peladang sama ada secara individu atau berkelompok.

“Menyediakan sokongan perkhidmatan kejenteraan ladang seperti traktor, jentuai dan pengangkutan lori, perkhidmatan pembekalan peralatan ladang, benih dan input pengeluaran wajar dipandang serius supaya tidak timbul pelbagai masalah,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Ahli Peladang, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut di hadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris dan pemimpin-pemimpin setempat.


Sembilan ahli peladang pelbagai PPK menerima pinjaman antara RM20,000 hingga RM50,000 setiap individu bagi melaksanakan projek masing-masing.

Encik Wan Zakaria turut memberitahu peningkatan pengeluaran makanan pada kos kompetitif akan memastikan rakyat mendapat bekalan sumber makanan yang mencukupi pada harga berpatutan.

“Pendekatan ini mampu meningkatkan hasil pengeluaran bahan makanan, mengatasi permasaran hasil pertanian dan sekaligus dapat mengekang kenaikan harga makanan,” katanya.







UMT Anjur program USR@UMT

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan program USR @ UMT ‘Komuniti Sihat Produktiviti Meningkat ‘ bertempat di Balai Raya Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit Sabtu ini (7 Julai).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak universiti, program sehari itu dimulakan seawall jam 7.30 pagi dengan aktiviti senamseni diikuti pameran dan pemeriksaan kesihatan, derma darah, kempen derma organ, peraduan mewarna, sukanneka dan demontrasi pemprosesan makanan sihat.

Turut diadakan ceramah kesihatan, ceramah untuk pelajar SPM, jom masuk UMT dan juga cabutan nombor bertuah. Manakala orang ramai akan dirai pada majlis kenduri sekampung.

Majlis perasmian akan dilakukan oleh Pengerusi Jawatan Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat pada jam 12 tengahari.




Pasukan Terengganu di minta tingkatkan prestasi


Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said memberi peringatan kepada pasukan Terengganu supaya segera meningkatkan prestasi sepanjang Liga Super berlangsung jika tidak mahu peruntukan bagi pasukan itu diberhentikan .

"Saya amat kecewa dengan corak permainan pemain Terengganu dan juga pengurusannya. Saya mahu pihak pengurusan buat sesuatu.

"Jika gagal, kita tidak akan teragak-agak hentikan peruntukan tambahan kepada skuad Terengganu. Setakat ini kita dah beri RM2 juta dan mereka kena tunjukkan perubahan. Kalau masih tak berubah, peruntukan tambahan tak akan diberi.

"Saya cukup tak puas hati dengan mutu permainan Terengganu dari segi cara hantar bola dan peluang menjaringkan gol, sungguh membosankan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau diminta mengulas perlawanan antara Terengganu menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam semalam yang berakhir dengan skuad Penyu menang tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut mempertikaikan pihak pengurusan skuad berkenaan meletakkan pemain dari bangku simpanan dalam kesebelasan sehingga mempamerkan aksi hambar ketika menentang Kuala Lumpur.

"Saya ingin beri amaran kepada pemain dan pengurusan, kalau tak buat yang terbaik, saya tak akan bagi peruntukan lagi (tambahan), kerana kerajaan negeri beri peruntukan RM4 juta setahun kepada kedua-dua pasukan, jadi kita mahu yang terbaik.

"Tapi kalau mereka tak nak berubah juga, biar mereka (pengurusan) tanggung sendiri. Mereka kena ingat, di sini bukan negeri hanya untuk suka-suka dengan mendapat bayaran yang banyak, kita tak mahu membazir," tegasnya.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan tindakan serupa ke atas T-Team sekiranya pasukan tersebut menghadapi masalah yang sama sehingga menggugat peluang merangkul kejuaraan musim ini.



04 July 2012

Tatiuc bakal lahir pakar logam dan keluli

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Tati Universiti Kolej (TATiUC) menjalin kerjasama strategik antara
Shaougang Institute Of Technology (SGIT), China dan Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) bagi melahirkan lebih ramai rakyat tempatan yang pakar dalam bidang industri logam dan keluli.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian berkaitan itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mewakili Tatiuc manakala SGIT telah diwakili Naib Presidennya, Wang Lin dan ESSB pula diwakili Pengurus Projek, Tee Choon Hock.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi saksi pada majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera.

Tetamu kerhormat lain, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata SGIT yang bergabung dengan syarikat terkemuka, Shaougang Of China mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan.
Antaranya berkaitan bidang metalurgi dan keluli, teknologi maklumat, pembinaan, kejuruteraan alam sekitar, pengurusan ekonomi serta kejuruteraan mekanikal dan elektrikal.

“Melalui kerjasama ini, Tatiuc dengan SGIT akan menyediakan program Teknologi Pembuatan Besi dan Keluli dengan pengkhususan dalam kejuruteraan metalurgi selama setahun.

“Buat permulaan seramai 20 pelajar cemerlang yang juga anak jati Terengganu mempunyai diploma dan ijazah dari mana-mana universiti akan ditawarkan mengikuti kursus kejuruteraan berkaitan sebelum diserap bekerja dengan syarikat ESSB ,” katanya selepas majlis itu.

Katanya, ESSB adalah sebuah syarikat usahasama antara Malaysia Hiap Teck Venture Berhad dan China Shaougang Group melibatkan pelaburan RM1.8 billion, akan membina Kompleks Keluli Bersepadu di Telok Kalong, Kemaman.

“Dengan adanya kerjasama seumpamanya ini, kita bukan saja dapat meningkatkan kepakaran rakyat tempatan dalam bidang metalurgi malah dapat melatih pekerja yang berkelayakan dalam pelbagai aspek untuk industri besi dan keluli,” katanya.



Skuad Penyu, T Team menang

‘Skuad Penyu’ menewaskan Kuala Lumpur 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi manakala pasukan adik, T-Team menundukkan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Kuching.

Terengganu yang tewas 1-2 kepada Kedah, Sabtu lalu, bangkit mencipta kemenangan selepas mengalahkan pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur.

Skuad Penyu memungut mata penuh hasil jaringan Francis Doe enam minit sebelum tamat permainan.

Tuan rumah mendahului pasukan pelawat hasil rembatan kencang Francis pada minit ke-13, tetapi pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-30.

T-Team menang menentang Sarawak menerusi jaringan Mohd Fadzli Saari pada minit ke-30.






Pas ‘jilat ludah sendiri’

Sewaktu mula-mula memerintah negeri Kelantan, Pas telah mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran kerana mereka mendakwa suara wanita adalah aurat dan tidak boleh didedah di khalayak ramai.

Lalu, mereka hanya membenarkan qari saja menyertai tilawah yang telah dimulakan di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Bagaimanapun, satu situasi yang sungguh pelik dan ajaib telah berlaku pada masa ini apabila Pas menggunakan wanita bukan untuk tujuan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, tetapi berkempen untuk parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Pas kini menggunakan artis dan selebriti tempatan bagi menarik minat orang ramai hadir pada ceramah mereka di negeri ini dan beberapa negeri lain.

Antara artis wanita yang dipergunakan pemimpin Pas sebagai pelaris ceramahnya ialah Aishah, Abby Abadi dan Dayangku Intan.

Pas mendakwa usaha Kerajaan Barisan Nasional mengadakan tilawah al-Quran tidak Islamik kerana mendedahkan aurat wanita di khalayak ramai.

Tetapi, apa hukumnya mereka menggunakan artis wanita sebagai tenaga ceramah mereka?
Inilah antara sikap ‘double standard’ Pas yang tidak payah dihuraikan lagi kerana mereka akan melakukan apa saja bagi kepentingan politik mereka. Tidak boleh bagi mereka jika perkara itu dilakukan oleh Umno, tetapi asal perkara itu memberi manfaat kepada mereka, kira boleh saja.

Mengulas mengenai ‘trend’ baru yang digunakan oleh parti Pas itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata ceramah-ceramah Pas kini tidak lagi menjadi tumpuan kerana ia mengetengahkan isu-isu lapuk.

“Justeru itu, Pas perlu berbuat sesuatu bagi menarik pendengar, termasuk menggunakan artis wanita supaya orang ramai hadir ceramah mereka,” katanya.

Beliau mengakui kehadiran ceramah Pas yang menggunakan artis wanita ini mampu menarik lebih ramai pendengar, tetapi itu tidak menggambarkan mereka yang hadir itu menyokong Pas.

“Ramai yang hadir pada ceramah Pas itu merupakan orang luar yang mahu melihat artis yang berucap di ceramah Pas, mereka bukan pengundi di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ceramah Pas kini lebih ke arah ‘indah khabar dari rupa’ kerana bilangan pendengarnya bertambah tetapi ia bukan tanda sokongan kepada parti itu semakin kuat.



Kempen kutip biji getah

Oleh; Esah Abdullah

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menjalankan kempen Kutip Biji Getah bermula bulan ini (Julai) bagi memastikan bekalan benih baru untuk pekebun kecil sentiasa mencukupi.

Timbalan Pengarah Risda negeri, Puan Faridah Hariyati Mohd Jusoh berkata, pekebun kecil atau orang ramai boleh mencari duit poket dengan menjual biji getah kepada Risda.

“Tahun lepas kita berjaya mengumpul 24 tan metrik biji getah dan tahun ini kita menjangkakan dapat mengumpul dalam jumlah yang lebih banyak,” katanya.

Katanya, setiap kilogram biji getah dibeli dengan harga RM3, ia kerja mudah kerana sambil menoreh sambil mengutip biji yang luruh sekali gus mereka boleh dapat duit dengan senang.

Menurutnya, Risda akan mengumpul dan mengenalpasti biji getah yang bermutu tinggi bagi menghasilkan anak pokok yang berkualiti .

Pihaknya turut mengalu-alukan pekebun kecil yang ingin membuat permohonan bagi tanaman semula getah untuk mengisi borang permohonan secara talian terus.

“Proses melalui talian ini cepat dan boleh selesai dalam tempoh 24 jam berbanding mengisi borang secara manual yang mengambil masa 14 hari daripada tarikh dipohon,” katanya.