Halaman

07 July 2012

Gotong royong mengecat Pusat Komuniti Rumah Awam Seberang Jertih



Oleh: Mohammad Ishak 

Cuti hujung minggu dimanfaatkan oleh penduduk di Perumahan Awam Seberang Jertih dengan mengadakan aktiviti mengecat pagar Pusat Komuniti dalam usaha mengindahkan kawasan perumahan berkenaan.

Kerja mengecat itu disertai oleh remaja dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam berkenaan.

Setiausaha JKKK terbabit, Wan Mohamad Ibrahim, berkata pihaknya mengadakan aktiviti gotong royong bagi menggalakkan remaja dan penduduk bekerjasama antara satu sama lain.

Katanya, JKKK itu mendapat peruntukan RM1,000 sumbangan Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, bagi membeli cat dan peralatan lain.

Menurutnya, pusat komuniti itu yang menampatkan sebuah surau, kelas Tadika dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) akan dicat dalam pelbagai warna menarik bagi menampakkan suasana baru dan persekitaran yang indah.

Beliau berkata, dengan menggunakan pelbagai warna ia mampu menjadi daya tarikkan selain kelihatan ceria dan menarik.

Wan Mohamad berkata, jawatankuasa JKKK dalam mesyuarat bulanannya memutuskan untuk mengecat pagar konkrik itu dengan menggunakan warna merah, biru dan kuning yang kelihatan lebih cantik dan menawan.

“Apabila siap sepenuhnya kawasan pagar pusat berkenaan dijangka menjadi perhatian dan tarikkan baru kepada pengunjung yang datang ke kawasan perumahan berkenaan,” katanya.

Lawatan sehari PM ke Terengganu 13 Julai ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka mengadakan lawatan sehari ke Terengganu, pada 13 Julai (Jumaat) ini.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, beberapa acara akan mengisi program pemimpin utama negara itu termasuk solat jumaat di Masjid Bukit Payong, Marang, sebelum menyertai jamuan rakyat bersama seluruh penduduk tempatan di Padang Bola, Bukit Payong.

Katanya, program kemudiannya disusuli dengan perjumpaan dengan Rela seluruh Terengganu di Stadium Tertutup, Kuala Terengganu yang dijangka akan dihadiri kira-kira 20,000 orang.

"Selesai acara di Stadium Tertutup, Dato’ Sri Mohd Najib akan menemui jentera peti undi seluruh Terengganu yang diadakan di Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu, sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

“Lawatan beliau dalam tempoh seminggu dari sekarang dan ini maklumat terbaru yang saya terima," katanya di Alor Limbat, Marang, semalam (5 Julai).

Menurut Dato' Yahya lagi, kunjungan Perdana Menteri ke Bukit Payong sebagai hadiah kepada penduduk di Dun berkenaan memandangkan Umno Terengganu mensasarkan mampu memenangi (Pilihan Raya Umum ke-13) di kawasan itu nanti.




Wanita tidak mudah diperlekeh

Oleh; Esah Abdullah

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, mahukan golongan wanita terus memainkan peranan sebagai agen perpaduan di kalangan semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, walaupun wanita mempunyai nilai-nilai kelembutan, tetapi mereka mempunyai sikap tegas dan tidak mudah diperlekehkan.

``Sebagai fitrah wanita yang prihatin, sabar, lembut, mesra , wajarlah mereka sebagai pendidik yang terbaik bagi membimbing terutama kepada generasi muda,’’ ujarnya.

Katanya kesetiaan wanita juga sukar digugat dan ia menjadi perisai bagi menangkis segala dakyah yang ingin merosakkan keyakinan rakyat kepada kerajaan yang memerintah.





Perlu bersikap pemaaf dengan rakyat-YB Yahya Khatib

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Amirullah Othman



Wakil rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dinasihatkan supaya jangan sombong atau ego sebaliknya perlu berjiwa besar dan bersikap pemaaf dengan rakyat.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Yahya Khatib, , berkata “Jangan hanya tunjuk muka atau `turun padang’ sewaktu tiba musim pilihan raya sahaja. Jika tetap berbuat demikian ia akan memberi tamparan hebat kepada pemimpin itu sendiri.

“Kita perlu menganggap, setiap rakyat itu nadi dan nadi itu pula adalah pengundi, kita sebagai pemimpin sewajarnya ingat ini semua, jika mahu terus kekal sebagai wakil rakyat dan sayangkan parti Umno,” katanya kepada Teganukita.


Menurutnya, pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan malah di setiap DUN hampir RM3 juta diperuntukkan termasuk program atap biru, rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), sukan rakyat dan sebagainya.

“Jika melihat peruntukan yang disumbangkan, mustahil kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang. Oleh itu, pemimpin setempat perlu bersedia dan `turun padang’ bagi mendalami masalah rakyat.

“Sentuhan daripada pemimpin itu cukup penting bagi menawan hati setiap rakyat atau pengundi,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Dato’ Yahya Khatib berkata, dia selalu berpesan, kita sebagai orang politik, jangan terlalu mudah berkecil hati, terasa hati, yang penting mesti berhati-hati.

“Seeloknya perlu mencari penapis yang sempurna, ibaratnya jika ingin minum air teh 0, penapis yang digunakan itu kurang elok, maka air yang ditapis itu akan berhabuk dan tidak selesa untuk diminum serta dipandang,” katanya




06 July 2012

Selendang Biru Semarak Kasih platform ibu tunggal ubah nasib diri

Oleh: Aida And Rahman
Gambar oleh Amirullah Othman




Kerajaan Terengganu merintis penganjuran program Selendang Biru Semarak Kasih sebagai platform ibu tunggal di seluruh negeri mendapat input berguna dan kesedaran bagi mengubah kehidupan ke arah lebih baik serta keluar dari paras kemiskinan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata program yang menyediakan bimbingan, perundingan dan kemudahan khususnya dalam pembiayaan dan pinjaman perniagaan akan menjelajah ke seluruh parlimen juga bermatlamat untuk mengeluarkan ibu tunggal dari data e-Kasih.

“Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat bertujuan membasmi kemiskinan di mana sasaran utama adalah golongan ibu tunggal.

“Golongan ibu tunggal di Terengganu lebih 21, 800 lebih dan hampir 50 peratus daripada mereka adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, lebih-lebih lagi mempunyai tanggungan dan anak yang masih bersekolah. Jadi berdasarkan masalah golongan itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengurangkan senarai ibu tunggal dalam data e-Kasih dengan melaksanakan program Selendang Biru Semarak Kasih ini,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Program Selendang Biru Semarak kasih Parlimen Marang, di Dataran Alor Limbat, Marang, semalam (5 Julai).

Turut Hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Haji Alias Abdullah.
Dato’ Yahya berkata, pelbagai pendedahan dan kemudahan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Pusat kepada golongan ibu tunggal supaya taraf hidup mereka dapat ditingkatkan dan dapat menyara keluarga dengan lebih selesa.

“Antara kemudahan dan pendedahan seperti pinjaman modal dan juga subsidi, bagaimanapun ramai di kalangan mereka tidak menyedari kewujudan kemudahan itu.

“Terengganu merintis program ini yang tidak diadakan di mana-mana negeri lain bagi menghimpunkan golongan ibu tunggal dalam satu program yang amat bermanfaat untuk membantu mereka hidup lebih baik dan cemerlang,” katanya.







Industri burung walet jana pendapatan lumayan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 1,700 pengusaha sarang burung walet di negeri ini mendapat sentuhan baru apabila Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mewujudkan sebuah pusat pengumpulan sarang burung walet bagi memudahkan pengusaha memasarkan hasil tuaian mereka.

Pengarahnya, Encik Shamsuddin Mat Rani berkata, langkah jabatan sejajar dengan perkembangan industri itu sebagai suatu perusahaan bernilai tinggi.

Katanya, usaha ini membolehkan para pengusaha menjual hasil mengikit harga pasaran semasa dan lebih telus berbanding hasil yang dijual kepada orang persaorangan.

“Harga semasa kini mencecah RM1,800 hingga M2,300 sekilogram dan dijangka terus meningkat kerana ia mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, industri burung walet pada masa ini berkembang pesat dan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 1,000 (satu metrik tan) dengan nilai mencecah RM1.6 juta sebulan.

Katanya, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 480 buah premis didaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri yang dijadikan penempatan burung walet.

Daripada jumlah berkenaan, 150 buah merupakan premis kedai dan 330 buah adalah premis rumah sebuah yang membabitkan 228 orang pengusaha Melayu dan 252 orang pengusaha berbangsa Cina.

Menurutnya, melalui 15 wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang telah dilantik sebagai ajen pembeli dapat memudahkan pengusaha di seluruh negeri untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka.

Tambahnya, pusat pengumpulan hanya mengkelas sarang burung wallet kepada tiga gred sahaja iaitu gred A, gred B dan gred C iaitu yang mempunyai ciri-ciri tertentu antaranya dari segi warna, bentuk sarang, ketebalan saiz serta ketinggian sarang.





Harga buku serendah RM1 di PDT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir di Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pesta buku itu akan berlangsung selama tujuh hari iaitu bermula semalam hingga 11 Julai di Pusat Dagangan Terengganu (PDT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

Lebih 30 pengedar dan pengusaha kedai buku akan mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing dengan anggaran harga serendah RM1 hingga RM50 senaskah.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bersetuju mengadakan program seumpama ini sekurang-kurangnya tiga kali dala tempoh setahun berikutan mendapat sambutan cukup mengalakkan.

“Pada pengalaman lepas, orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.





05 July 2012

Terengganu paling ramai keluar dari e-Kasih

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu muncul negeri berjaya mengeluarkan peserta dalam senarai e-Kasih paling tinggi apabila lebih 14,000 daripada 43,000 golongan itu keluar dari paras kemiskinan bermula 2008 hingga Jun tahun ini.

“E-kasih bertambah setiap hari akibat penceraian, kemiskinan dan masalah rumah tangga. Kerajaan negeri sentiasa peka dan mengambil inisiatif secara intensif bagi memastikan peserta e-Kasih dapat dikurangkan dari masa ke semasa.


“Menerusi program dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga, Yayasan Pembangunan Usahawan, bantuan membaiki rumah dan membina baru antara faktor yang mendorong kejayaan peserta e-Kasih keluar dari paras kemiskinan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad, di sidang akhbar selepas merasmikan Program Selendang Biru Semarak kasih Parlimen Marang, di Dataran Alor Limbat, Marang, hari ini.

Turut Hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Haji Alias Abdullah.

Dalam perkembangan berbeza, menurut Dato’ Yahya, pihaknya akan memastikan 50 hingga 100 daripada 2,000 ibu tunggal di Marang yang tersenarai sebagai penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lagi menerima bantuan itu menerusi pembabitan dengan bidang perniagaan yang dapat menambah pendapatan dan mengubah taraf hidup mereka kelak.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengeluarkan 10 hingga 15 peratus golongan ibu tunggal daripada setiap parlimen di negeri ini daripada menerima bantuan bulanan JKM itu.







Promosi Tasik Kenyir secara berterusan

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan terus mengekalkan program pertandingan ayam serama di dalam kalendar aktiviti tahunan agensi itu kerana mendapat sambutan menggalakkan.

Pengurus Besarnya, Encik Wan Mat Amin Wan Daud berkata, aktiviti yang diadakan di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir itu berjaya menarik ramai peserta dari dalam dan luar Terengganu.

“Peserta makin bertambah setiap kali pertandingan diadakan dan ini sekali gus dapat mempromosikan Tasik Kenyir sebagai sebuah tasek buatan manusia terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Katanya, Ketengah turut melaksanakan beberapa aktiviti di kawasan berkenaan dalam usaha menarik pelancong dari dalam dan luar negara datang melihat keunikan dan keindahan tasek itu.

“Ini bertepatan bila kerajaan negeri sedang membangunkan 10 pulau antaranya taman orkid, taman burung dan akan mewartakan sebagai kawasan bebas cukai tidak lama lagi,” katanya.




PPK perlu jadi agen tranformasi

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap daerah sewajarnya bertindak sebagai agen tranformasi supaya ahli-ahli peladang di negeri bijak dan berani mencuba perkara baru.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), Wan Zakaria Abdul Rahman, berkata mereka sewajarnya terlibat secara langsung dalam membangunkan projek-projek pertanian berskala besar dan komersial.

Katanya, pada masa sama, PPK perlu memantapkan dan memperkukuhkan rantaian nilaian pengeluaran hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani dan ahli peladang sama ada secara individu atau berkelompok.

“Menyediakan sokongan perkhidmatan kejenteraan ladang seperti traktor, jentuai dan pengangkutan lori, perkhidmatan pembekalan peralatan ladang, benih dan input pengeluaran wajar dipandang serius supaya tidak timbul pelbagai masalah,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Ahli Peladang, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut di hadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris dan pemimpin-pemimpin setempat.


Sembilan ahli peladang pelbagai PPK menerima pinjaman antara RM20,000 hingga RM50,000 setiap individu bagi melaksanakan projek masing-masing.

Encik Wan Zakaria turut memberitahu peningkatan pengeluaran makanan pada kos kompetitif akan memastikan rakyat mendapat bekalan sumber makanan yang mencukupi pada harga berpatutan.

“Pendekatan ini mampu meningkatkan hasil pengeluaran bahan makanan, mengatasi permasaran hasil pertanian dan sekaligus dapat mengekang kenaikan harga makanan,” katanya.