Halaman

02 August 2012

Polis Besut turun padang jumpa peniaga


Kasmani mengedarkan risalah kepada peniaga pasar Ramadan Kampung Raja

Oleh: Mohammad Ishak

Ramadan bukan bulan untuk berehat kepada penjawat awam terutama pasukan keselamatan seperti Polis kerana mereka perlu meneruskan tugas seperti biasa.

Ini kerana setiap kali bulan puasa dan menjelang Aidilfitri pelbagai kes jenayah sering dilaporkan berlaku malah ia meningkat pada bulan berkenaan.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, mengerahkan anggotyanya untuk turun padang dan memantau semua lokasi yang dianggap berisiko tinggi terutama di kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Program Walkabout Policing yang dilaksanakan Polis Besut sebahagian usaha untuk memantau kegiatan jenayah dan membangkitkan oramng ramai terhadap kesedaran menjaga harta benda dan keselamatan awam.

Bazar Ramadan Kampung Raja menjadi pilihan pasukan polis untuk menjalankan program berkenaan apabila anggota polis berkaitan turun padang menemui peniaga dan mengedarkan risalah

Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Besut, ASP Kamani Hassan, mengetuai anggotanya menemui semua penjual makanan dan kuih di bazar berkenaan sambil beramah mesra dengan mereka.

Menurut Kamani, menerusi pendekatan itu ia diharap dapat membantu polis mengurangkan kegiatan jenayah apabila orang awam turut memahami tanggungjawab mereka dan tahu tugas sebenar anggota polis.

MSN giat latih dan cari atlet renang

Oleh: Suriati Ali

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kini giat melatih dan mencari atlet-atlet sukan renang di seluruh Terengganu bagi memastikan tidak ketandusan bakat setiap kali menghadapi kejohanan ternama, termasuk Sukan Malaysia (Sukma).

Pelbagai pendekatan dilaksanakan, termasuk mewujudkan Program Pengenalpastian Bakat Akuatik semata-mata mahu melihat bidang itu turut unggul bersama-sama sukan basikal, sepak takraw, judo dan bola sepak.

Timbalan Pengarah MSNT, Encik Ibni Amin Busu, berkata pihaknya mengakui, Terengganu masih gagal memiliki pasukan yang mantap dalam sukan akuatik.

“Kita masih ketinggalan dalam sukan ini kerana pembangunan berkaitan itu belum bertapak di Terengganu selain kurangnya pendedahan atlet terhadap kejohanan-kejohanan tertentu.

“Di negeri lain, individu itu sendiri mengambil inisiatif menyertai mana-mana kelas latihan berbayar atau menyertai kelab renang, tetapi perkara ini tidak berlaku di Terengganu bermungkinan kurangnya sokongan keluarga dan infrastruktur berkaitan itu,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, MSN memandang serius terhadap sukan renang ini kerana ia menawarkan pungutan pingat paling banyak setiap kali Sukma dianjurkan di mana-mana negeri.

“Program Mengenalpasti Bakat ini adalah permulaan kepada kami walaupun kami sedar ia memerlukan masa yang lama untuk memperoleh hasilnya.

“Kami akan mengumpul sebanyak mungkin bakat-bakat muda untuk diserapkan di bawah kendalian persatuan dan mereka yang terpilih akan didedahkan kepada banyak pertandingan sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” katanya.



Yang Di-Pertuan Muda berkenan sampai bantuan fakir miskin

Oleh; Esah Abdullah

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu hari ini (2 Ogos).



Turut berangkat adinda Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra.

Hadir sama, Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Tengku Bentara Raja; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Kenamaan lain yang hadir pada majlis itu ialah Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri , Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarah JKM Terengganu, Encik Zuhami Omar.


Seramai 100 orang warga emas, ibu tunggal dan penerima bantuan bulanan Jabatan Kemajuan Masyarakat dari daerah Kuala Terengganu (70) dan Marang (30) terpilih menerima sumbangan berupa kain pelikat (lelaki), kain batik (wanita), kurma dan wang tunai RM250 setiap seorang.

Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra masing-masing berkenan menyampaikan sumbangan kepada semua penerima.




Kerajaan belanja RM38j untuk Program Jaya Diri

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar (kiri) sempat berbual dengan penerima modal perniagaan melalui Program Jaya Diri YPK di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri membelanjakan RM38 juta bagi menyediakan pinjaman modal perniagaan kepada 14,514 peserta Program Jaya Diri Yayasan Pembangunan Keluarga (PJDYPK) sejak 1995 sehingga kini.

Pinjaman modal secara mikro kredit kepada isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin disediakan bagi membolehkan peserta mengusahakan projek ekonomi yang boleh menambah pendapatan keluarga dengan kadar bayaran yang mampu dibayar oleh peserta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata YPK memainkan peranan penting sejak penubuhannya pada 1986 bagi membantu membantu golongan miskin dan ibu tunggal untuk mengubah nasib dan kehidupan dengan menjalankan perniagaan.


“YPK sudah memberi kemudahan pinjaman kepada 14,514 orang dengan jumlah RM38 juta sejak penubuhan program itu 17 tahun lalu.

“Semua peserta kebanyakannya berjaya meningkatkan pendapatan mereka dengan menyertai program YPK ini. Hakikatnya, kerajaan bersedia menyediakan kemudahan dan bantuan pinjaman modal, bimbingan, galakan mahu pun nasihat bagi memastikan masyarakat kita mampu mengubah kehidupan dan sikap ke arah lebih baik, demi memperbaiki ekonomi keluarga masing-masing” katanya di Majlis Berbuka Puasa Meraikan Peserta Program Jaya Diri YPK, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam (1 Ogos).

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan beberapa exco, pegawai kanan kerajaan serta ketua jabatan.

Menteri Besar turut mengingatkan masyarakat negeri ini supaya memanfaatkan peluang dan ruang yang disediakan kerajaan kepada mereka bagi mengubah taraf kehidupan dan tidak ` miskin minda’ sehingga sanggup menggunakan bantuan kewangan itu ke jalan yang tidak sepatutnya.

Di majlis itu, seramai 32 penerima anugerah Program Jaya Diri Berdikari menerima sijil pengiktirafan dan replika cek masing-masing dalam perniagaan yang disampaikan Menteri Besar.

Selain itu, YPK turut membelanjakan RM4.77 juta bagi menyediakan pinjaman PJDYPK kepada 864 peserta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Kesemua replika cek diterima wakil masing-masing mengikut parlimen.






JKNT buka kaunter berhenti merokok

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) membuka kaunter berhenti merokok di bazar-bazar Ramadan terpilih di negeri ini sebagai langkah membantu perokok menghentikan tabiat masing-masing.

Pengarah Jabatan itu, Dr Anwa Sulaiman berkata, gerai atau kempen yang dilaksanakan sejak 1 Ramadan lalu menerima sambutan positif di kalangan masyarakat yang rata-ratanya serius ingin untuk berhenti merokok.

“Pihak kami juga telah mengambil inisiatif mempromosikan amalan gaya hidup sihat di masjid dan kemudahan kesihatan melalui kain rentang dan bunting berkaitan berhenti merokok serta hak masyarakat untuk hidup bebas tanpa asap rokok.

“Pelbagai usaha lain turut dilaksanakan bagi mengatasi masalah merokok ini, antaranya termasuk menguatkuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) yang berkuatkuasa pada 24 September 2004, memperuntukkan ketetapan kawasan larangan merokok,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tempat-tempat yang sentiasa menjadi tumpuan penguatkuasaan adalah kawasan Institusi Pengajian Tinggi, hospital, premis-premis kerajaan, perhentian pengangkutan awam,stesen minyak dan pasar raya.

“PPKHT 2004 juga mempunyai peruntukan tertentu untuk mengawal pengiklanan hasil tembakau, larangan pengedaran sampel percuma, larangan tajaan, bilangan rokok dalam sesuatu bungkusan, pelabelan dan bentuk pembungkusan paket rokok, tanggungjawab mempamer larangan penjualan hasil tembakau kepada orang belum dewasa (OBD) serta peruntukan tambahan tempat-tempat dilarang merokok,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga beberapa kesalahan yang sering dilakukan peniaga, termasuk menjualnya kepada kanak-kanak di bawah unur, tiada label larangan menjual hasil tembakau kepada tertentu dan sebagainya.

“Selain penguatkuasaan, usaha promosi secara berterusan dijalankan bagi membantu perokok untuk berhenti merokok dan seterusnya melindungi orang sekelilingnya dari asap rokok.

“Oleh itu, bagi perokok yang berminat untuk berhenti merokok dan sesiapa yang mempunyai ahli keluarga yang merokok yang memerlukan maklumat untuk berhenti merokok, kunjungilah klinik kesihatan berdekatan untuk mendapat bantuan untuk berhenti merokok,” katanya.


Kediaman MB persinggahan RTM Jelajah Merdeka Raya

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menerima penyerahan baton penjelajahan Program RTM Jelajah Merdeka Raya 2012 sebaik tiba di Kuala Terengganu.

Terengganu menjadi lokasi kedua sebagai laluan siri penjelajahan ke negeri Pantai Timur selepas Pahang sebelum berakhir di Kelantan bagi Program RTM Jelajah Merdeka Raya 2012.

Terbaru, program yang menggabungkan tiga acara merangkumi sambutan bulan Ramadan, Hari Raya dan menjelang Kemerdekaan Ke-55 singgah untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pegawai kanan kerajaan di kKediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, petang semalam (1 Ogos).

Sebelum itu, peserta penjelajahan sempat mengagihkan bubur lambuk dan bendera di Hotel Permai, Kuala Terengganu, pada sebelah pagi.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata program anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia
itu harus disokong dan menjadi inisiatif penting sebagai menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara yang ke-55 tidak lama lagi.

“Sempena sambutan Kemerdekaan ke-55, kita haruslah mensyukuri nikmat berada di negara yang aman, bumi berdaulat dan sama-sama menjaga keistimewaan yang ada serta saling bersatu-padu bagi mengekalkannya di bawah kepimpinan hari ini,” kata beliau.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyerahan baton penjelajahan oleh Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Dr Ahmad Jailani Mohamed Yunus kemudiannya menyerahkan baton penjelajahan kepada Menteri Besar.

Program diadakan secara penjelajahan yang panjang dan berslansung bergilir-gilir dari negeri ke negeri itu bakal mendapat pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Record sebagai ‘Jelajah Menjalankan Tanggungjawab Sosial Terbanyak’.

Selain itu, pelbagai acara diatur untuk pengisian program yang bersesuaian dengan kemuliaan bulan Ramadan, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan patriotisme Hari Kebangsaan di samping bertujuan menyemai semangat 1Malaysia di kalangan masyarakat.

Berkonsepkan ‘pass baton’, program ini telah memulakan penjelajahan pada 21 Julai dan akan berakhir pada 21 Ogos 2012. Bermula dari Kuala Lumpur, program ini melibatkan enam laluan yang merentasi negeri-negeri di Malaysia.

Jelajah akan tamat di destinasi terakhir iaitu di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitiri bersama Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia dan Pengarah Penyiaran Negeri di Sarawak.






01 August 2012

MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN KEPADA PESERTA PROGRAM JAYA DIRI YPKT DI KEDIAMAN SERI IMAN BATU BURUK

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Peserta Program Jaya Diri YPKT mewakili setiap daerah di Terengganu gembira bersama Menteri Besar, Dato'Seri Haji Ahmad Said.





MENTERI BESAR TERENGGANU MELANCARKAN PROGRAM JELAJAH MERDEKA RAYA 2012 DI KEDIAMAN SERI IMAN

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Seri Haji Ahmad Said (kanan) menjulang obor simbolik Program Jelajah Merdeka Raya 2012 di Kediaman Rasminya di Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu.






Penduduk Kemaman dan Dungun dapat hospital baru


Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hispital Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Penduduk di daerah Kemaman dan Dungun bakal menikmati kemudahan kesihatan dan perubatan lebih baik apabila dua hospital baru dibina di daerah terbabit bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendapat perkhidmatan.

Menteri Besar,Dato' Seri Ahmad Said berkata, pembinaan hospital baru terbabit bagi menampung keperluan yang semakin meningkat berikutan pertambahan penduduk selain hospital sedia ada tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna.

Katanya, Hospital Kemaman bernilai RM200 juta dan Dungun RM130 juta masing-masing akan dibina akhir tahun ini apabila semua proses siap dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, selain kemudahan fizikal Terengganu juga memerlukan lebih ramai doktor pakar untuk ditempatkan di hospital seluruh negeri terutama yang mempunyai kemudahan dalam pembedahan seperti di Setiu dan Besut.

Bagaimanapun,katanya, projek pembinaan dewan bedah Hospital Setiu masih menghadapi masalah apaabila kerja menyiapkan dewan sudah berlarutan sejak Sembilan tahun lalju.

“Sebelum ini pembinaan dewan bedah Hospital Besut juga mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan akibat kegagalan kontraktor,” katanya pada sidang media selepas melawat pesakit di Hospital Besut, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Jabi,Ramlan Ali dan Pegawai Daerah, A Rahim Jusoh.

Seramai 100 pesakit yang sedang dirawat di Hospital Besut menerima sumbangan air zam zam, buah kurma dan peralatan lain yang disumbangan oleh Puteri Umno Bahagian Besut.

Mengenai keadaan tidak selesa pesakit yang mendapat rawatan di Pusat Haemodialisis di hospital berkenaan Ahmad bersetuju menyumbangkan peruntukkan RM50,000 bagi memasang sistem penghawa dingin di pusat terbabit.

Pelajar kesal terlibat perhimpunan haram Bersih 2.0

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seorang pelajar Tahun 3 jurusan Perubatan dari Universiti Azhar Mesir yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu, melahirkan rasa kesal kerana terlibat dengan perhimpunan tidak berfaedah itu hingga menjejaskan pembelajarannya dan banyak menyusahkan keluarga di tanah air.

Muhamad Hasyim Che Ngah, 21, mengakui dia dan beberapa rakannya telah terpengaruh dengan pelawaan pihak pembangkang untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah pada 9 Julai tahun lalu.

Berikutan itu, Yayasan Terengganu (YT) menggantung pinjaman pengajian Muhamad Hasyim dan lapan pelajar lain dari negeri ini selepas mereka didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan haram itu kerana tindakan mereka amat jelas melanggar penjanjian antara kedua-dua pihak.

“Saya menyesal di atas perbuatan itu yang dilakukan tanpa berfikir panjang. Kini saya terpaksa menanggung risiko untuk melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan tanpa pinjaman YT.

“Selepas YT menarik balik pinjaman pengajian, tidak ada pihak lain yang datang membantu saya kecuali rakan-rakan dan keluarga,” katanya kepada sidang media selepas mengunjungi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Wisma Darul Iman, hari ini bagi melahirkan rasa kesalnya atas perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir panjang itu.



Beliau turut memohon maaf kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu atas kesilapan tersebut dan amat berharap diberi peluang kedua bagi membaiki kesalahan tersebut.

“Saya berjanji selepas ini saya tidak akan terlibat lagi dengan kegiatan politik yang tidak sihat dan bertentangan dengan undang-undang negara, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelajaran saya,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar ketika ditanya reaksi terhadap permohonan pelajar berkenaan, berkata kes itu akan ditrujuk kepada Lembaga Pengarah YT dan keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat lembaga tidak lama lagi.