Halaman

02 August 2012

Kerajaan belanja RM38j untuk Program Jaya Diri

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar (kiri) sempat berbual dengan penerima modal perniagaan melalui Program Jaya Diri YPK di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri membelanjakan RM38 juta bagi menyediakan pinjaman modal perniagaan kepada 14,514 peserta Program Jaya Diri Yayasan Pembangunan Keluarga (PJDYPK) sejak 1995 sehingga kini.

Pinjaman modal secara mikro kredit kepada isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin disediakan bagi membolehkan peserta mengusahakan projek ekonomi yang boleh menambah pendapatan keluarga dengan kadar bayaran yang mampu dibayar oleh peserta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata YPK memainkan peranan penting sejak penubuhannya pada 1986 bagi membantu membantu golongan miskin dan ibu tunggal untuk mengubah nasib dan kehidupan dengan menjalankan perniagaan.


“YPK sudah memberi kemudahan pinjaman kepada 14,514 orang dengan jumlah RM38 juta sejak penubuhan program itu 17 tahun lalu.

“Semua peserta kebanyakannya berjaya meningkatkan pendapatan mereka dengan menyertai program YPK ini. Hakikatnya, kerajaan bersedia menyediakan kemudahan dan bantuan pinjaman modal, bimbingan, galakan mahu pun nasihat bagi memastikan masyarakat kita mampu mengubah kehidupan dan sikap ke arah lebih baik, demi memperbaiki ekonomi keluarga masing-masing” katanya di Majlis Berbuka Puasa Meraikan Peserta Program Jaya Diri YPK, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam (1 Ogos).

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan beberapa exco, pegawai kanan kerajaan serta ketua jabatan.

Menteri Besar turut mengingatkan masyarakat negeri ini supaya memanfaatkan peluang dan ruang yang disediakan kerajaan kepada mereka bagi mengubah taraf kehidupan dan tidak ` miskin minda’ sehingga sanggup menggunakan bantuan kewangan itu ke jalan yang tidak sepatutnya.

Di majlis itu, seramai 32 penerima anugerah Program Jaya Diri Berdikari menerima sijil pengiktirafan dan replika cek masing-masing dalam perniagaan yang disampaikan Menteri Besar.

Selain itu, YPK turut membelanjakan RM4.77 juta bagi menyediakan pinjaman PJDYPK kepada 864 peserta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Kesemua replika cek diterima wakil masing-masing mengikut parlimen.