Halaman

30 July 2012

Terengganu berpotensi tandingi destinasi terkemuka dunia

Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu berpotensi meningkatkan mutu, tarikan dan keunggulan produk dan perkhidmatan pelancongannya setanding dengan destinasi pelancongan lain yang terkemuka di dunia.

Penolong Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu (PKPMNT), Cik Mazshida Ruslal, berkata walaupun secara relatifnya Terengganu masih baru dalam industri pelancongan di persada antarabangsa, namun industri itu mampu berkembang dengan baik menerusi pelbagai usaha termasuk menganjurkan kursus berkaitan pelancongan kepada barisan hadapan kakitangan awam.

“Pembangunan industri pelancongan ini boleh disifatkan sebagai sebahagian daripada usaha membina, memperluas dan emmpelbagaikan asas ekonomi negeri dalam sektor perkhidmatan supaya sektor ini menjadi lebih dinamik, progresif dan berdaya maju,” katanya ketika berucap sempena Kursus Mesra Malaysia Siri III, di Hotel Permai Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Cik Mazshida berkata, PKPMNT yang beroperasi sejak 1 januari 2010 lalu dengan menggabungkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dan Pejabat Pelesenan Timur berperanan dalam membantu kerajaan negeri serta penggiat industri pelancongan dalam menjadikan Terengganu sebagai gerbang utama pelancongan ke Wilayah Pantai Timur.

Katanya, usaha mencapai hasrat sebagai gerbang utama pelancongan di Pantai Timur dengan memberi penekanan kepada skop pembangunan fizikal dan modal insan industri pelancongan, acara pelancongan, homestay, pelesenan dan juga penguatkuasaan pelancongan.

“PKPMNT akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan dalam menjadikan acara sebagai medium dalam mempromosikan lagi Terengganu.

“Malah, kita baru sahaja menganjurkan program `1Malaysia Green & Clean’- Siri Jelajah Terengganu serta program `Plant A Tree’ dalam usaha memastikan destinasi pelancongan di Terengganu sentiasa bersih dan indah,” katanya.

Kursus anjuran PKPMNT sepanjang dua hari disertai 34 peserta di kalangan kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis, Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.