Halaman

01 August 2012

Projek ECRR mula tahun depan

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) Fasa I akan dipanjangkan dari Kerteh hingga ke Dungun, bagi membolehkan bekalan bijeh besi dari daerah itu dibawa ke kawasan Perindustrian Telok Kalong.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, meluluskan permohonan kerajaan negeri agar projek membina rel keretapi ECRR dipanjangkan dari cadangan asalnya dari Kuantan hingga Kerteh, kepada dari Kuantan hingga Dungun.

“Dengan kelulusan baru itu, bermakna landasan keretapi berkenaan ditambah sejauh 35 kilometer (cadangan asal 109 kilometer).

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan permohonan kita agar projek ECRR Fasa I dipanjangkan hingga ke Dungun,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan kajian kebolehlaksanaan ECRR yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan kini telah siap dilaksanakan.

Projek tersebut akan dilaksanakan mengikut fasa mulai fasa I yang merangkumi landasan rel sejauh 109 kilometer dari Kerteh ke Kuantan.

Menteri Besar yakin projek ECRR itu apabila siap kelak akan memberi impak yang besar terhadap ekonomi negeri ini, khususnya di bidang perindustrian.

Beliau berkata, projek itu akan mula dilaksanakan pada tahun depan dan siap menjelang tahun 2016.