Halaman

29 July 2012

Dividen RM314.6 juta untuk pekebun kecil Risda

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sebelum ini peneroka Felda menerima ‘durian runtuh’, kini tiba pula giliran pekebun kecil mendapat habuan lumayan apabila kerajaan mengumumkan pemberian dividen RM314.6 juta kepada 39,306 pekebun kecil di seluruh negara.

Pemberian dividen berkenaan melibatkan para peserta Rancangan Tanah Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersil (TSK).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, ketika mengumumkan pemberian dividen itu berkata, sepanjang tahun lalu Risda menjana keuntungan daripada ladang RTBB disebabkan harga getah dan kelapas sawit yang melambung naik.

Pemberian dividen itu melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta bagi RTBB manakala bagi TSK pula berjumlah RM163.6 juta.

Pemberian yang berupa ‘bonus’ Hari Raya untuk para peserta tanah rancangan itu akan diagihkan kepada semua pekebun kecil terlibat dalam masa terdekat ini.

Begitu banyak dividen bakal diterima pekebun kecil getah dan kelapa sawit di seluruh negara hasil pengurusan bijak pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Dalam hal ini, kita amat mengharapkan mereka yang menerima nikmat daripada pemberian tersebut melahirkan rasa syukur mereka dan mengingati jasa pemimpin BN menaikkan ekonomi dan taraf hidup mereka.

Jangan pula mereka menjadi golongan ‘kacang lupakan kulit’ yang menghentam kerajaan dan memberi sokongan kepada pembangkang yang hanya pandai menabur seribu janji tetapi tidak pernah menunaikannya.

Golongan peneroka perlu sedar mereka menerima nikmat yang melimpah ruah ini hasil kebijaksanaan pemimpin BN mentadbir dan mengurus negara ini dengan pelbagai program dan projek bagi meningkatkan taraf hidup mereka.