Halaman

31 July 2012

Ladang Sahak anjur pertandingan pasang panjut

Puan Azimah mengagihkan pelita kepada beberapa penduduk Kampung Ladang Sahak untuk dinyalakan pada malam tujuh likor.


Oleh; Esah Abdullah
Gambar ZULKIPLI PUTRA

UMNO Cawangan Ladang Sahak/Sheikh Ibrahim akan mengadakan Pertandingan Pasang Panjut (pelita) bagi menghidupkan semula suasana malam tujuh likur yang sudah dilupakan oleh generasi muda hari ini.

Pengerusi Biro Penerangan, Puan Azimah Abdul Rahman berkata, pertandingan bermula 4 Ogos dan berakhir 17 Ogos itu membabitkan 30 keluarga yang tinggal di kampung berkenaan.

“Kita mengagihkan 1,500 pelita kepada penduduk dan mereka boleh menambah bilangan pelita mengikuti kreativiti masing-masing dengan mengeluarkan modal sendiri,” katanya ketika ditemui ketika membuat agihan pelita kepada penduduk semalam.

Katanya, program yang mendapat kerjasama Pemuda dan Puteri itu menawarkan hadiah RM300 (pertama), RM200 (kedua) dan RM100 (ketiga) manakala 10 hamper (tempat keempat hingga ke 13).

Menurutnya, cawangan ambil inisiatif untuk menghidupkan semula suasana malam tujuh likur yang datang hanya sekali dalam setahun iaitu pada bulan puasa.

“Sambutan sebegini menimbulkan nostalgia orang-orang terdahulu yang juga menyebut panjut bermaksud pelita yang menerangi kawasan rumah,” katanya.