Halaman

03 August 2012

Peserta PJDYPKT tuai hasil lumayan

Oleh: Aida Abd Rahman

Inisiatif Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan kemudahan pinjaman modal perniagaan menerusi Program Jaya Diri YPKT (PJDYPKT) sejak 1995 berhasil mengubah kehidupan ramai peserta menjadi lebih maju dan berdaya saing.

Malah, ada di kalangan peserta mampu meningkat pendapatan sehingga empat kali ganda selepas menyertai program itu, sekali gus membuktikan PJDYPKT berjaya mencapai hasrat penubuhannya.

Seorang peserta dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Puan Zalina Zakaria, 44, berkata dia memohon pinjaman menerusi PJDYPKT bagi mendapatkan modal yang lebih besar untuk meluaskan lagi perniagaan jagung yang diusahakan di Kampung Pasir Putih, Marang.



“Alhamdulillah saya dapat meraih keuntungan lebih bagi menyara kehidupan saya bersama anak-anak selepas bergelar ibu tunggal.

“Permohonan saya pada 2006 berjaya mendapat pinjaman sejumlah RM3,000 dan kali kedua, kira-kira empat tahun lalu berjaya menggandakan pinjaman kepada RM8,000. Hasilnya pendapatan saya bertambah baik dan pendapatan boleh mencapai RM2,000 sebulan berbanding sebelum ini hanya sekitar RM500 sahaja,” katanya.

Seorang lagi peserta dari DUN Bukit Payong, Puan Meery Sidek, 47, berkata program itu amat membantunya menambah pendapatan bulanan daripada hanya RM850 sebulan kepada Rm3,000 sebulan menerusi perniagaan kedai makan yang diusahakan di Kampung Belukar Jambu, Marang.

Malah, daripada hanya menggunakan dua pekerja, kedai makan yang baru memasuki usia dua tahun itu kini sudah dibantu oleh tujuh pekerja berikutan pelanggan yang kian bertambah.

“Pada 2002 , saya memohon pinjaman RM1,000, bertambah kepada RM5,000 tiga tahun kemudian. Selepas itu, kira-kira empat tahun lalu, PJDYPKT memberi pinjaman sebanyak RM8,000 dan saya memanfaatkan bantuan itu sebaik mungkin,” kata ibu tunggal yang memiliki tujuh anak itu lagi.

Sementara Zakaria Ahmad, dari DUN Alor Limbat pula, berkata perniagaan menjual air batu campur di pasar malam yang diusahakan bersama isteri sejak 21 tahun lalu semakin maju sejak menyertai program anjuran YPKT itu.

Dia yang mewakili isterinya, Tg Noorizam Tg Ghani, 46, dari Kampung Masjid Kepong sebagai peserta PJDYPKT, mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM3,000 pada 2010 berjaya menjana serta menambah pendapatan daripada sekitar RM500 sebulan kepada RM1,600 sebulan.

“Saya dengan dibantu isteri meniaga di beberapa tapak pasar malam sekitar Marang dan Kuala Terengganu. Dengan bantuan modal ini dapat saya meluaskan perniagaan dan bagi kami tiada masalah membayar pinjaman yang hanya RM130 sebulan dan kini berbaki tiga bulan lagi sebelum lunas kesemuanya.

“Bagaimanapun, kini harga barang dan bahan mentah yang semakin naik sedikit menjejaskan perniagaan kami.Pun begitu, saya berterima kasih dan bersyukur dengan keprihatinan kerajaan menyediakan program sebegini kerana membantu peniaga kecil-kecilan seperti saya untuk terus mencari rezeki demi menyara keluarga, isteri dan enam anak yang kini berusia 12 hingga 27 tahun,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri sudah membelanjakan RM38 juta bagi menyediakan pinjaman modal kepada 14,514 peserta program itu sejak 1995 sehingga kini.

Pinjaman modal secara mikro kredit kepada isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin dengan menetapkan kadar bayaran yang mampu dijelaskan oleh peserta membolehkan mereka mengusahakan projek ekonomi untuk menambah pendapatan keluarga.