Halaman

01 August 2012

Pelajar kesal terlibat perhimpunan haram Bersih 2.0

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seorang pelajar Tahun 3 jurusan Perubatan dari Universiti Azhar Mesir yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu, melahirkan rasa kesal kerana terlibat dengan perhimpunan tidak berfaedah itu hingga menjejaskan pembelajarannya dan banyak menyusahkan keluarga di tanah air.

Muhamad Hasyim Che Ngah, 21, mengakui dia dan beberapa rakannya telah terpengaruh dengan pelawaan pihak pembangkang untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah pada 9 Julai tahun lalu.

Berikutan itu, Yayasan Terengganu (YT) menggantung pinjaman pengajian Muhamad Hasyim dan lapan pelajar lain dari negeri ini selepas mereka didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan haram itu kerana tindakan mereka amat jelas melanggar penjanjian antara kedua-dua pihak.

“Saya menyesal di atas perbuatan itu yang dilakukan tanpa berfikir panjang. Kini saya terpaksa menanggung risiko untuk melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan tanpa pinjaman YT.

“Selepas YT menarik balik pinjaman pengajian, tidak ada pihak lain yang datang membantu saya kecuali rakan-rakan dan keluarga,” katanya kepada sidang media selepas mengunjungi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Wisma Darul Iman, hari ini bagi melahirkan rasa kesalnya atas perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir panjang itu.



Beliau turut memohon maaf kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu atas kesilapan tersebut dan amat berharap diberi peluang kedua bagi membaiki kesalahan tersebut.

“Saya berjanji selepas ini saya tidak akan terlibat lagi dengan kegiatan politik yang tidak sihat dan bertentangan dengan undang-undang negara, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelajaran saya,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar ketika ditanya reaksi terhadap permohonan pelajar berkenaan, berkata kes itu akan ditrujuk kepada Lembaga Pengarah YT dan keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat lembaga tidak lama lagi.