Halaman

03 August 2012

287 guru dan kakitangan awam Pejabat Pendidikan Daerah Besut terima anugerah


Idris menyampaikan sijil penghargaan kepada guru

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 287 guru dan kakitangan awam Pejabat Pendidikan Daerah Besut, menerima anugerah pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pejabat berkenaan semalam.

Anugerah yang diwujudkan bagi memberi penghormatan kepada individu yang berjaya menunjukkan perkhidmatan ketika bertugas itu sebahagian daripada usaha meningkatkan lagi mutu kerja dikalangan guru dan kakitangan awam.

Pengerusi Mara, Dato’Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, merasmikan majlis berkenaan serta menyampaikan anugerah kepada penerima yang terpilih.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, ADUN Kota Putera Muhamad Pehimi Yusof dan Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan.

Berucap pada majlis itu Idris menegur golongan guru yang kurang memberi perhatian tugas yang diamanahkan sebaliknya ada dikalangan mereka yang lebih aktif menjalankan perniagaan jualan langsung.

Katanya, sikap guru yang mengabaikan tugas boleh membantut usaha kerajaan untuk meningkatkan bidang pendidikan di negara ini. Beliau berkata, sebagai pendidik guru sepatutnya memberi perhatian serius terhadap profesion mereka kerana itulah yang dipertanggngjawabkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh Pejabat Pendidikan kerana mengambil daya usaha untuk memberi penghargaan kepada guru dan kakitangan jabatan yang sentiasa peka kepada tugas dan tanggungjawab dan mereka sewajarnya diberi pengiktirafan.