Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak, bahawa pekembangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berada pada kedudukan yang amat positif sungguh mengembirakan penduduk Pantai Timur, termasuk Terengganu.
Menurut beliau antara pelaburan dicatatkan antara Januari dan Jun tahun ini adalah oleh Gevo Inc dari Amerika Syarikat yang akan membina loji bio isobutanol pertama dunia menggunakan bahan mentah biojisim bernilai RM1.65 bilion di Taman BioPolimer Kertih (KBP), Terengganu.
Gevo akan mengikut jejak CJ Arkema, syarikat usaha sama antara CJ CheilJedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis, yang akan melabur RM2 bilion untuk membangunkan loji bio-metionina pertama di dunia di KBP.
Kini, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC ) sudah menyiapkan kerja infrastruktur di tapak kemudahan bio-metionina CJ Arkema di KBP dan pembinaan loji itu dijangka bermula pada suku ketiga 2012.
Pengumuman Gevo itu susulan pemeteraian dokumen kerjasama strategik antara Kerajaan Terengganu, ECERDC dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk membangunkan kawasan seluas 1,000 hektar di KBP untuk pembinaan kompleks biopenapisan terbesar di Asia.
Kita amat yakin, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah melakukan usaha yang terbaik untuk memastikan pembangunan ekonomi yang cemerlang di Terengganu.
Sebagaimana beliau berulang kali menyatakan, setiap pembangunan yang dilakukan di Terengganu mestilah berteraskan kepentingan rakyat dengan pendekatan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, selaras dengan pendekatan pusat, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Kompleks biopenapisan di KBP itu adalah satu mercu tanda utama kerana ia yang pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan bahan mentah selulosa untuk menghasilkan produk terbitan bio seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.
Kompleks biopenapisan itu dijangka menarik pelaburan RM7 bilion dan keseluruhan projek itu akan menjana PNK terkumpul RM20.4 bilion menjelang 2020 selain membuka 2,500 peluang pekerjaan “hijau” di Malaysia
“Semua projek ini dijangka dilaksanakan tahun ini,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) tahun ini di Kuala Lumpur.
Difahamkan ECER menarik pelaburan berjumlah RM32.7 bilion dalam tempoh 2007 sehingga akhir Jun lalu, dengan RM12 bilion diterima hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Dato’ Seri Najib Razak berkata, antara Januari hingga Jun tahun ini, kelompok pelancongan ECER menarik jumlah pelaburan tertinggi merangkumi 55 peratus, diikuti pembuatan (31 peratus), pertanian (lapan peratus), pendidikan (lima peratus) dan perkhidmatan (hampir satu peratus).
Daripada pelaburan RM32.7 bilion yang berjaya ditarik ke ECER sejak 2007 itu, RM21.9 bilion sudah pun diterima dan mewujudkan hampir 30,000 peluang pekerjaan serta menyumbang RM7 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Di samping mengucap terima kasih kepada Dato’ Sri Mohd.Najib di atas komitmen yang diberikan kepada ECER yang diwujudkan di zaman Perdana Menteri sebelumnya, kita juga mengucap tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad di atas pencapaian ini, khususnya dalam konteks negeri Terengganu.
Kita yakin projek berteknologi tinggi di Terengganu itu akan menjadi perintis ke arah pendekatan ‘industri biotech’ dan akan menjadi pemangkin pembangunan lain-lain indusrti yang bersifat akitiviti hiliran (downstream).