Halaman

04 August 2012

Suntikan modal RM8 juta setahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) memperuntukkan RM8 juta sebagai bantuan modal menjalankan perniagaan menerusi Program Jaya Diri Yayasan Pembangunan Keluarga (PJDYPK) sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM4.6 juta sudah dibelanjakan kepada 864 peserta sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarah YPK, Encik Shafaruddin Mustaffa, berkata YPK sudah membelanjakan RM38 juta yang melibatkan 14,514 peserta sejak awal pelaksanaan program yang memberi pinjaman secara mikro kredit kepada isi rumah yang kurang berkemampuan di seluruh Terengganu sejak 1995 itu.

“Setiap peserta yang baru menyertai PJDYKT perlu menjalani Kursus Asas Perniagaan sebagai pendedahan asas berhubung pengendalian dan pengurusan perniagaan.


“Sepanjang tahun ini, YPK khususnya di Bahagian Sosio Ekonomi merangka program ini di setiap Parlimen dengan tiga siri kursus sudah dilaksanakan sejak April lalu,” katanya.

Beliau berkata, peserta disuntik dengan kesedaran dan motivasi bagi meningkatkan usaha meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing, selain turut diberi pendedahan maklumat asas pemasaran, pengendalian dan pengurusan terhadap perniagaan.

Menurutnya, peserta juga diterapkan dengan prinsisp asas menguruskan kewangan seperti cara mengawal pusingan modal yang baik dan mengendalikan rekod kewangan yang betul serta bersistematik.

“Kursus kepada peserta dilaksanakan secara teori dan amali melalui komunikasi dua hala dengan perunding yang bermanfaat mendedahkan cara serta kaedah yang berkesan bagi memastikan sebuah perniagaan kecil mampu berkembang dengan lebih baik.

“Pada masa yang sama, mereka juga akan diberi pendedahan cara untuk mengekalkan prestasi perniagaan supaya sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya.