Halaman

29 July 2012

Selagi BN memerintah, program Bakti Remaja diteruskan – MB

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu akan meneruskan program Bakti Remaja sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat dan kepercayaan untuk memerintah oleh para pengundi negeri ini pada masa akan datang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri mengakui program itu memberi banyak kebaikan kepada golongan muda kerana ‘saguhati’ berupa wang tunai itu dimanafaat sebaik mungkin oleh golongan berkenaan.

Setiap tahun kata beliau, sumbangan sebanyak RM200 seorang diagihkan bukan sebagai ‘gula-gula’ politik, sebaliknya satu penghargaan kepada golongan belia yang aktif dengan program-program kemasyarakatan.



“Golongan belia perlu diberi saguhati kerana mereka meluang masa dan tenaga secara sukarela dalam persatuan masing-masing untuk pelbagai aktiviti kebajikan, sosial dalam masyarakat.

“Kerajaan BN yang ada pada hari ini cakna belia, cakna orang muda. Sebab itu janji kita, selagi BN memerintah program Bakti Remaja akan diteruskan,” katanya ketika berucap pada program Pembahagian Dana Bakti Remaja di Dewan Sivik Kijal, Kemaman semalam.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, kerajaan negeri komited menjayakan program itu walaupun jumlah agihan dana semakin bertambah setiap tahun.

Tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM24 juta untuk diagihkan kepada golongan remaja yang layak di seluruh negeri.

Pada tahun 2011, kerajaan negeri membelanjakan RM24 juta untuk memberi manafaat kepada 95,219 remaja, manakala tahun sebelumnya, RM23.42 juta diagihkan kepada 95,252 penerima di seluruh negeri.