Halaman

30 July 2012

Kerajaan beri RM10.6 juta kepada pelajar

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri membelanjakan RM10.6 juta untuk diagih kepada 10,606 pelajar Tingkatan Enam Atas melalui Program Bantuan Pendidikan yang mula diperkenalkan pada tahun 2008.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, bantuan wang tunai RM1,000 kepada setiap pelajar yang tidak mendapat biasiswa itu mampu memberi dorongan dan galakan kepada mereka untuk terus kekal cemerlang dalam peperiksaan yang bakal diduduki.

Katanya, pada masa sama ia turut membantu meringankan beban keluarga untuk membeli kelengkapan pembelajaran seperti buku rujukan dan alat tulis.

“Kerajaan negeri berasa kagum, prestasi pelajar kita amat memberangsangkan dan peratusan pelajar cemerlang turut meningkat bila program ini diperkenalkan sejak enam tahun lalu.

“Apa yang diharapkan semuanya berjaya mencapai cita-cita yang diimpikan, di samping mampu mengekalkan Terengganu sebagai negeri terbaik dalam semua peperiksaan utama,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu kepada Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 2,150 pelajar Tingkatan Enam (Atas) pelbagai sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Berdasarkan jumlah pelajar itu, kerajaan negeri melalui YT membelanjakan lebih RM2.1 juta bertujuan mahu melihat pencapaian cemerlang yang diperoleh setiap pelajar dapat peperiksaan utama itu nanti.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.



Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan melakukan apa saja untuk memberi tambah nilai di bidang pendidikan kerana menyedari hanya dengan ilmu pendidikan yang cemerlang mampu merubah landskap ekonomi negeri dan negara.

“Zaman persekolahan adalah masa terbaik pelajar mencorakkan hala tuju kehidupan masing-masing manakala kerajaan hanya mampu memberi bantuan dan galakan, usaha sama ada untuk cemerlang atau sebaliknya ditentukan pelajar itu sendiri,” katanya.