Halaman

04 August 2012

Puteri UMNO Besut turun padang


Puteri UMNO Besut sampai sumbangan kepada ahli yang uzur

Oleh: Mohammad Ishak 

Puteri UMNO Besut mengaktifkan ahlinya pada Ramadan ini dengan meningkatkan gerak kerja terutama menjelajah ke seluruh pelosok daerah menemui ahli sambil menyampaikan sumbangan.

Program jelajah Ramadan bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin dan ahli sekurang-kurangnya dapat membangkit semangat dan silatul Rahim antara kedua belah pihak.

Ketuanya, Che Senah Sulaiman berkata, selepas mengadakan sumbangan kepada pesakit di Hospital Besut (HB) minggu lalu,kini pihaknya memberi tumpuan kepada ahli puteri yang tinggal di bahagian berkenaan.

Menurutnya, sesi pertama jelajah itu semalam memilih kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Kuala Besut dan Kampung Raja.Manakala hari ini pergerakan itu menuju ke DUN Hulu Besut.

Che Senah berkata, sehingga ini sudah 50 ahli dan bekas ahli yang sakit dan uzur sudah dilawati untuk disampaikan sumbangan berupa wang dan bahan makan serta pakaian.

Beliau berkata, Puteri Besut bergerak dari rumah ke rumah untuk menyampaikan sendiri sumbangan berkenaan kepada mereka yang dipilih oleh Ketua Puteri di peringkat cawangan masing-masing.

Katanya, usaha yang dilakukan itu turut mendapat sokongan dan kerjasama baik dari seluruh jentera Puteri Umno di bahagian itu dan memudahkan program berkenaan dilaksanakan dengan baik dan lancar.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Dato’Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Ketua Umno Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih kerana memberi sokongan dan bantuan bagi menjayakan program berkenaan.