Halaman

29 July 2012

Harga, bekalan keperluan dijamin terkawal pada musim perayaan

Oleh FAUZI MOHD

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu memberi jaminan tiada kenaikan harga barangan keperluan di pasar-pasar di negeri ini pada musim perayaan sekarang ini.

Timbalan Pengarahnya, Ab. Ghani Harun berkata, pemantauan dijalankan oleh 82 pegawai PPDNKK seluruh negeri bagi memastikan tiada peniaga dan pemborong yang tamak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Beliau turut memaklumkan semua bekalan barangan keperluan sempena bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri mencukupi bagi negeri ini.

"Kita mengadakan pemantauan secara kerap di pasar-pasar seluruh negeri dan sehingga kini kita tidak menerima sebarang aduan tentang kenaikan harga melibatkan barang basah seperti daging dan ayam.

"Bekalan gula, tepung dan minyak juga mencukupi sehingga sambutan Hari Raya nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan harga barangan di Pasar Cabang Tiga baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ab. Ghani memaklumkan berdasarkan pemantauan pihaknya mengakui terdapat kenaikan harga RM2 bagi sekilo daging lembu dari Australia dan Thailand yang sebelum ini dijual pada harga RM20.

Jelasnya, ini kerana peniaga dan pemborong mendakwa berlaku peningkatan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung selain caj yang dikenakan di tempat penyembelihan.

"Berdasarkan penelitian kita, kos sekitar RM200 perlu ditanggung peniaga untuk proses penyembelihan di Jabatan Veterinar dan atas dasar itu harga perlu dinaikkan RM2.

"Kita telah maklum tentang perkara tersebut. Bagaimanapun kenaikan itu masih dalam kawalan dan pengguna tidak perlu risau kerana perkara itu adalah biasa dan tiada kenaikan harga mendadak seperti yang didakwa setengah pihak," jelasnya.

Ab. Ghani menambah, bagi bekalan ayam dan minyak, pihaknya tidak mengalami sebarang masalah kerana harga yang konsisten dan bekalan mencukupi sepanjang bulan ini.

"Kita jangka bekalan ayam cukup dan harga juga mungkin berlaku penurunan manakala untuk bekalan minyak pula negeri ini tidak mengalami sebarang masalah kerana kita menerima 2,200 metrik tan sebulan untuk memenuhi permintaan.

"Malah tambahan bekalan minyak 10 peratus yang disyorkan kementerian juga kita tidak guna lagi, jadi orang ramai usah bimbang kerana bekalan masih cukup," ujarnya.