Halaman

01 August 2012

Penduduk Kemaman dan Dungun dapat hospital baru


Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hispital Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Penduduk di daerah Kemaman dan Dungun bakal menikmati kemudahan kesihatan dan perubatan lebih baik apabila dua hospital baru dibina di daerah terbabit bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendapat perkhidmatan.

Menteri Besar,Dato' Seri Ahmad Said berkata, pembinaan hospital baru terbabit bagi menampung keperluan yang semakin meningkat berikutan pertambahan penduduk selain hospital sedia ada tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna.

Katanya, Hospital Kemaman bernilai RM200 juta dan Dungun RM130 juta masing-masing akan dibina akhir tahun ini apabila semua proses siap dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, selain kemudahan fizikal Terengganu juga memerlukan lebih ramai doktor pakar untuk ditempatkan di hospital seluruh negeri terutama yang mempunyai kemudahan dalam pembedahan seperti di Setiu dan Besut.

Bagaimanapun,katanya, projek pembinaan dewan bedah Hospital Setiu masih menghadapi masalah apaabila kerja menyiapkan dewan sudah berlarutan sejak Sembilan tahun lalju.

“Sebelum ini pembinaan dewan bedah Hospital Besut juga mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan akibat kegagalan kontraktor,” katanya pada sidang media selepas melawat pesakit di Hospital Besut, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Jabi,Ramlan Ali dan Pegawai Daerah, A Rahim Jusoh.

Seramai 100 pesakit yang sedang dirawat di Hospital Besut menerima sumbangan air zam zam, buah kurma dan peralatan lain yang disumbangan oleh Puteri Umno Bahagian Besut.

Mengenai keadaan tidak selesa pesakit yang mendapat rawatan di Pusat Haemodialisis di hospital berkenaan Ahmad bersetuju menyumbangkan peruntukkan RM50,000 bagi memasang sistem penghawa dingin di pusat terbabit.