Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengambil langkah proaktif melaksanakan Kempen Nafas Baru Bermula 1 Ramadan lalu bertujuan membantu perokok menghentikan tabiat masing-masing.
Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman berkata, kempen itu dijangka menerima sambutan positif di kalangan masyarakat memandangkan kehadiran bulan puasa dapat mendisiplinkan mereka.
Katanya, pihaknya melaksanakan pelbagai usaha mengatasi masalah merokok ini, antaranya termasuk menguatkuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) yang berkuatkuasa pada 24 September 2004, memperuntukkan ketetapan kawasan larangan merokok.
“Tempat-tempat yang sentiasa menjadi tumpuan penguatkuasaan adalah kawasan Institusi Pengajian Tinggi, hospital, premis-premis kerajaan, perhentian pengangkutan awam,stesen minyak dan pasar raya.
“PPKHT 2004 juga mempunyai peruntukan tertentu untuk mengawal pengiklanan hasil tembakau, larangan pengedaran sampel percuma, larangan tajaan, bilangan rokok dalam sesuatu bungkusan, pelabelan dan bentuk pembungkusan paket rokok, tanggungjawab mempamer larangan penjualan hasil tembakau kepada orang belum dewasa (OBD) serta peruntukan tambahan tempat-tempat dilarang merokok,” katanya.
Menurutnya, terdapat juga beberapa kesalahan yang sering dilakukan peniaga, termasuk menjualnya kepada kanak-kanak di bawah unur, tiada label larangan menjual hasil tembakau kepada tertentu dan sebagainya.
“Selain penguatkuasaan, usaha promosi secara berterusan dijalankan bagi membantu perokok untuk berhenti merokok dan seterusnya melindungi orang sekelilingnya dari asap rokok.
“Oleh itu, bagi perokok yang berminat untuk berhenti merokok dan sesiapa yang mempunyai ahli keluarga yang merokok yang memerlukan maklumat untuk berhenti merokok, kunjungilah klinik kesihatan berdekatan untuk mendapat bantuan untuk berhenti merokok,” katanya.
Katanya, Jabatan Kesihatan juga membuka gerai atau booth kaunter berhenti merokok di bazar-bazar Ramadan untuk membantu perokok untuk berhenti merokok.
“Selain itu, pihak kami juga telah mengambil inisiatif mempromosikan amalan gaya hidup sihat di masjid dan kemudahan kesihatan melalui kain rentang dan bunting berkaitan berhenti merokok serta hak masyarakat untuk hidup bebas tanpa asap rokok.
“Hebahan informasi berkaitan Nafas Baru Bermula Ramadan melalui Terengganu FM juga diadakan bagi memberi liputan meluas setiap hari sepanjang bulan Ramadan kepada masyarakat betapa pentingnya kita tinggal di dalam persekitaran udara yang bersih dari asap rokok,” katanya.