Halaman

30 July 2012

Terima kasih kerajaan negeri-Shamsir

Oleh; Esah Abdullah
Gambar ZULKIPLI PUTRA


KEMBALI CERIA...Shamsir begitu gembira mempelajari cara menggunakan kerusi roda elektrik bantuan kerajaan negeri yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato' Wan Ahmad Nizam dan Dato' Wan Hisham di Kampung Ladang Sehat.

Seorang bapa tunggal, Encik Shamsir Awang, 46 terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di dalam rumah dan sesekali keluar ke beranda untuk menghirup angin segar di luar rumah di Kampung Ladang Sehat, Kuala Terengganu.

Begitulah rutin hidupnya sejak empat tahun lalu yang mengidap penyakit pakinson dan kini memerlukan bantuan untuk bergerak lantaran tidak mampu berdiri lama.


Bapa kepada dua anak berusia 10 dan 13 tahun ini tinggal menumpang di rumah kakaknya, Puan Rohani Awang, 48, dan banyak dibantu oleh anak buahnya untuk ke bilik air.

Menurut Puan Rohani, kesihatan Shamsir semakin merosot akhir-akhir ini kerana tidak mahu makan ubat serta enggan ke hospital untuk buat peperiksaan.

“Sukar memahami perasaanya yang kian murung dan belanja hariannya bergantung penuh kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RMM300 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini (30 Julai).

Sehubungan itu Encik Shamsir yang menerima sumbangan kerusi roda elektrik mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang perihatin dengan nasibnya dan berharap kehidupannya lebih ceria selepas ini.

“Dengan adanya kerusi roda elektrik ini mungkin saya boleh berdikari serta tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang lain untuk bergerak,” katanya.

Bekas pekerja syarikat swasta sebagai pemasang kabel itu kini hanya mampu menghitung hari mengenang masa depan yang kelam tanpa apa-apa perancangan kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu.