Halaman

29 July 2012

Percaturan Mohd Fauzi bantu rakan sebaya berhasil

Oleh: Aida Abd Rahman
Hasil percaturan seorang pemuda yang mahu memastikan rakan sebaya tidak terus hanyut dengan dunia `mat rempit’ dan `mat gian’ serta mempunyai platform yang boleh mendatangkan manfaat membuahkan hasil apabila persatuan itu berjaya mendapat tempat pertama dua tahun berturut-turut sebagai Persatuan Belia Terbaik Peringkat Kemaman (2005-2006).

Pemuda berkenaan, Mohd Fauzi Mat Adam, 32, berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Felda Cerul, Kemaman berjaya mengumpul rakan-rakan dari pelbagai latar belakang bagi menyertai persatuan itu sejurus menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia.

Persatuan Belia Generasi Prihatin Felda Cerul yang merupakan ahli gabungan Majlis Belia Felda Terengganu ditubuhkan secara rasmi pada 12 April 2003 turut berjaya mewakili daerah ke peringkat negeri dua tahun berturut-turut, selain meraih pelbagai gelaran sama ada di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.

“Saya menolak tawaran kerja di kota metropolitan demi pulang ke kampung halaman, di Felda Cerul bagi berbakti kepada anak bangsa dan melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada rakan belia yang lain khususnya menerusi penubuhan belia secara sah dan mampu bergerak aktif.

“Ternyata keputusan itu berbaloi apabila persatuan belia saya mendapat sokongan ramai pihak termasuk Felda, Jawatankuasa Kemajuan Rancangan, pihak kerajaan negeri dan Pusat, selain diiktiraf pelbagai pihak untuk meraih pelbagai kejayaan,” katanya.

Berkat kesungguhan dan kepimpinan Mohd Fauzi yang dilantik sebagai pengerusi penaja bagi mengetuai persatuan itu sejak sembilan tahun lalu, akhirnya membawa kepada kejayaan untuk dinobatkan sebagai tokoh belia negeri 2012 bagi kategori Anugerah Perdana kategori lelaki, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Mohd Fauzi meraih RM5,000, piala iringan serta sijil di majlis penyerahan anugerah yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Selain johan Anugerah Perdana, persatuan belia berkenaan jugamuncul johan kategori Kepimpinan di Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri 2011 dan Tokoh Belia Cemerlang 2004 (Kategori Kepimpinan) anjuran Majlis Belia Felda Terengganu.