Halaman

04 August 2012

Al hamdulillah syukur nikmat

Oleh; Esah Abdullah

Al hamdulillah. Dengan sumbangan ini boleh buat belanja harian dan sambut hari raya nanti, begitu luahan hati seorang warga emas, Encik Ngah Mat,85, dari Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT dan menjunjung kasih kepada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu yang menghulurkan bantuan begitu besar ertinya ini,” katanya ketika ditemui di majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu.

Encik Ngah tinggal bersama salah seorang cucunya merupakan seorang penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 dan amat berterima kasih kepada kerajaan yang sering membantu golongan miskin.

Puan Simbok Mohamad, 60, dari Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu juga begitu terharu kerana kerajaan hari ini sangat mengambil berat tentang kebajikan golongan yang kurang bernasib baik dan warga emas.

“Mak Cik akan gunakan duit ni untuk belanja harian sepanjang bulan puasa dan juga untuk persiapan hari raya nanti,” katanya.

“ Saya nak beli baju raya dan barang-barang lain yang perlu untuk sambut hari raya,” kata Encik Mohd Salleh Razif, 27, dari Kampung Losong Haji Mat Shafie.

Beliau di bawah kategori orang kelainan upaya (OKU) menerima kain, kurma dan wang tunai RM250 pada majlis itu.