Halaman

31 July 2012

Ayuh Azizulhasni, Fatehah!

Oleh: Aida And Rahman

Ketika hasrat peminat melihat kejayaan diraih bagi acara berbasikal lebuh raya di Olimpik London menerusi gandingan Muhamad Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli musnah, harapan kini terarah pula kepada dua lagi pelumba trek sensasi, Mohd Azizulhasni Awang (gambar kanan) dan Fatehah Mustapa (gambar kiri).

Pada perlumbaan 250 kilometer (km) Sabtu lalu, Muhamad Adiq Husainie dan Amir Mustafa diarahkan berhenti oleh komisar kerana ketinggalan 18 minit di belakang pendahulu ketika perlumbaan berbaki 50km lagi.

Sementara Azizulhasni berkata dia sudah bersedia untuk mengembalikan sentuhan `The Rocketpocketman’ pada temasya Olimpik London .

Selepas sekian lama menyepikan diri ekoran daripada beberapa insiden kemalangan sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi daripada peminat, wira berbasikal negara itu, memiliki alasan 
tersendiri.

“Saya dirancang untuk mencapai kemuncak (peak) pada Sukan Olimpik 2012. Jurulatih John Beasley meminta saya jangan terlalu cepat untuk sampai kemuncak kerana kejohanan besar yang menanti adalah Olimpik," katanya.

Malah, keyakinannya tetap memuncak walaupun dihambat kecederaan terbaru apabila terjatuh dalam satu kejohanan di Koln, Jerman antara perlumbaan yang disertainya untuk persiapan ke Olimpik, tiga hari sebelum menjelangnya temasya itu, baru-baru ini.

Menurut Azizulhasni, percaturan yang dibuat Beasley kena pada waktunya kerana dia sendiri dapat merasai tahap persembahannya mengikut seperti yang dirancang.

Kemalangan terbaru yang dialaminya Jumaat lalu mencetuskan kebimbangan kerana ia hampir mengulangi peristiwa hitam Februari 2011 apabila serpihan trek sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kiri Azizulhasni ketika menyertai Siri Piala Dunia Klasik di Manchester.

"Saya jatuh sikit sahaja. Alhamdulillah tidak serius. Saya tidak ada apa-apa," jelasnya.

Jelas Azizulhasni lagi, untuk Olimpik kali ini, dia akan memikul dua tugas besar berlumba dalam acara keirin dan pecut seperti diputuskan walaupun mengikut perancangan awal Josiah Ng diberi peluang berlumba acara keirin.

"Mungkin nasib saya lebih baik apabila terpilih untuk menyertai dua acara ini. Saya juga berterima kasih kepada Josiah yang memberikan sokongan dan mahu membantu saya merealisasikan harapan untuk memburu pingat emas buat negara. Dia bersikap profesional walaupun satu ketika kami terpaksa bersaing untuk mendapatkan tempat. Saya tidak ada masalah untuk memikul dua tugas besar ini kerana saya sudah bersedia sepenuhnya," katanya.

Namun Azizulhasni tidak mahu memandang rendah keupayaan lawannya yang lain terutama penyandang emas Beijing 2008, Chris Hoy dan beberapa lagi pelumba dari Jerman, Perancis begitu juga Jepun yang semakin meningkat.

Azizulhasni menggalas cabaran bagi acara pecut 200 meter yang dijadual berlangsung pada 4 Ogos, manakala keirin pada 7 Ogos. Fatehah pula akan berentap pada 3 Ogos.