Syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) menyampaikan sumbangan zakat kepada 513 anak yatim, fakir miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) semalam.
Sumbangan sebanyak RM150 seorang itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud di kediamannya di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ramli Shahul Hameed.
Terdahulu, Ramli berkata, pemberian zakat itu adalah sumbangan daripada syarikat itu atas sokongan masyarakat sekitar khususnya di daerah itu terhadap operasi EPIC.
"Kita berharap pemberian sumbangan ini dapat memberikan sedikit keceriaan kepada golongan yang kurang berkemampuan menjelang hari raya ini.
"Kita mahu mereka turut berasa kemeriahan sambutan Aidilfitri walau dalam apa keadaan sekali pun," katanya.
Selepas itu, penerima terbabit turut diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Dato’ Seri Ahmad dan masyarakat setempat.