Oleh: Aida Abd Rahman
Konsep perniagaan di bazar Ramadan haruslah bertepatan dengan sunah dan tidak semata-mata mengejar keuntungan.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pengisian ihya’ Ramadan turut melibatkan perniagaan di bazar Ramadan, di mana umat Islam berlumba-lumba mencari rezeki tambahan sepanjang bulan penuh rahmat itu.
“Sebagaimana biasa, ihya’ Ramadan juga diadakan bazar Ramadan yang mana bukan setakat menjual juadah, mereka juga perlu menawarkan makanan yang baik dan terjamin dari aspek kesihatan, jasmani dan rohani.
“Mereka dituntut menjual juadah dalam keadaan tidak basi, tidak memudaratkan kesihatan dan boleh mendatangkan penyakit. Selain itu mereka perlu berniaga dengan cara berdisiplin dan jujur tanpa memikirkan keutungan semata-mata,” katanya.
Haji Muhammad Ramli berkata, Ramadan bukan bulan untuk kita menggandakan keuntungan dari sudut fizikal melibatkan keuntungan wang ringgit yang lebih, sebaliknya perlu mencari keuntungan ganjaran pahala .
Katanya, konsep meniaga di bazar Ramadan selain berniat untuk mencari rezeki halal dengan cara menjual dengan kadar berpatutan tanpa terlalu meraih keuntungan juga seumpama kita memberi makan kepada orang yang berbuka puasa.
“Niat kita mencari rezeki dan memudahkan orang berbuka puasa, maka insya-Allah ia termasuk juga sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda, `"Barangsiapa yang memberi makanan kepada seseorang untuk berbuka puasa, nescaya ia mendapat ganjaran yang sama dengan orang yang berpuasa itu.’ (Hadis Riwayat al-Tirmizi).
“Ini harus difikirkan oleh peniaga di bazar supaya menerapkan amalan berniaga mengikut sunnah dan tidak semata-mata mengejar keuntungan,” katanya.
Beliau berkata, peniaga juga harus menjadikan Ramadan untuk meningkatkan kesabaran dan ketaqwaan serta tidak menjual semula makanan yang sudah tidak boleh dimakan semata-mata tidak mahu mengalami kerugian.