DI MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu, Hakim Datin Yeoh Wee Siam ‘mengejutkan’ ramai pihak dengan memutuskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh menyaman seseorang atas kes fitnah.
Alasan penghakimannya, kerajaan negeri dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya maka ia harus terbuka kepada kritikan yang tidak terhad (uninhibited criticism).
Hakim juga menyatakan, kerajaan negeri tidak mempunyai locus standi bagi meneruskan saman itu dan jika dibenarkan memfaikan saman fitnah katanya, ia akan menyekat hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu dijadikan alasan oleh mahkamah untuk membatalkan saman Kerajaan Negeri Terengganu ke atas ADUN Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain selepas hakim tersebut menerima bantahan awal peguam pemimpin Pas itu.
Kerajaan Terengganu adalah plaintif pertama dalam saman tersebut selain tiga plaintif lain iaitu Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said serta dua peniaga, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin.
Selain Syed Azman, defendan-defendan lain dalam saman yang difaikan pada 15 Disember 2011 itu ialah pemilik permit Harakah, Dato’ Mustafa Ali yang juga Setiausaha Agung Pas; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan pencetak akhbar itu, Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd.
Keputusan itu menyaksikan tiga plaintif lagi kekal dalam saman tersebut. Hakim Wee Siam turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan pada 30 Julai berhubung isu sama ada defendan kedua memfailkan saman itu dalam kapasiti peribadinya atau sebagai Menteri Besar.
Penulis berpendapat, keputusan itu telah memberi ruang kepada rakyat untuk memfitnah pihak kerajaan negeri tanpa sekatan hanya dengan berpijak di atas alasan kebebasan bersuara. Adakah keputusan itu:
(1) Rakyat Dibenar Memfitnah Kerajaan Negeri?
(2) Rakyat Menjadi ‘Kebal’ dan Bebas Memfitnah Kerajaan Negeri?
(3) Menghalalkan Rakyat Memfitnah Kerajaan Negeri?
(4) Pemimpin Kerajaan Negeri Boleh Diaibkan dan Dimalukan Melalui Fitnah?
(5) Pemimpin Kerajaan Negeri Yang Difitnah Tiada Maruah dan Harga Diri?
(6) Rakyat Didorong Memfitnah Kerajaan Negeri Tanpa Tindakan Undang-Undang?
Keputusan hakim menerima bantahan awal peguam Syed Azman itu sudah pasti membawa implikasi yang sangat buruk kepada kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat melalui pilihanraya.
Adakah keputusan itu membolehkan kumpulan penentang minority meruntuhkan kerajaan yang disokong majoriti rakyat dengan bersenjatakan FITNAH?
Fitnah yang dilakukan Syed Azman melalui artikel ‘Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?’ dalam akhbar Harakah bertarikh 11-13 November 2011 adalah jelas memfitnah melalui tujuh kenyataan berunsur fitnah termasuklah:
(a)“… program bantuan ini berterusan selama tiga tahun dan jumlah keseluruhan adalah RM28.47 juta yang dibelanjakan untuk 282,966 pelajar di seluruh Terengganu sepanjang tahun 2008-2010” (Perenggan 3)
(b)“Harga di pasaran ialah RM26.70 dan RM76.50 berbanding harga pembekal antara RM73.50 dan RM123.30 dan ini bermakna kerajaan dapat berjimat sebanyak RM1.42 juta pada kadar harga jauh lebih rendah” (Perenggan 7)
(c)“Persoalan besar adalah bagaimanakah projek yang diurus selia oleh Pejabat Menteri Besar sendiri boleh berlaku salah urus dan kebocoran amat ketara…” (Perenggan 8)
(d)“Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam pelanggaran peraturan perolehan kerajaan ini? Menteri Besar sendirikah atau pegawai kerajaan terbabit? Dan siapakah yang mendapat keuntungan besar dengan memeras jerih susah rakyat miskin di seluruh negeri Terengganu ini?” (Perenggan 9)
Pada 8 Disember tahun lalu, selepas sesi akhir persidangan Dewan Undangan Negeri, Dato’ Seri Ahmad Said menjelaskan kontrak pembekalan pakaian hanya satu tahun iaitu pada tahun 2009 dengan nilai kontrak sebenar RM7.995 juta, bukannya tiga tahun berjumlah RM28.47 juta seperti yang difitnah Syed Azman.
“Tidak disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 kononnya berlaku salah laku dan penyelewengan serta kebocoran sebaliknya pujian diberikan kerana ia telah dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga miskin,” katanya.
Kata beliau, pembekal dilantik setelah membuat perbandingan harga yang ditawarkan syarikat lain iaitu Mysutera Sdn. Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai KUB Tekstil Sdn. Bhd. (sebagai tanda aras kualiti) dengan harga yang ditawarkan RM161.60 bagi set lelaki dan RM173.90 bagi set perempuan.
“Tetapi harga yang dibekalkan oleh kerajaan hanyalah RM150. Hanya pada tahun itu kerajaan meluluskan pembelian pakaian untuk mengelak pemberian disalah guna manakala pada 2007, 2008 dan 2010 dalam bentuk wang tunai,” ujarnya.
Perkara itu terjadi ekoran salah faham pihak Audit Negara terhadap harga yang ditawarkan pembekal berbanding harga di pasaran kerana pihak audit menganggap ia harga bagi sepasang uniform sekolah, padahal harga yang ditetapkan adalah bagi dua pasang uniform sekolah.
Dalam keputusan itu, mahkamah juga meminta pihak plaintif membuat hujah sama ada Menteri Besar juga boleh menyaman defendan-defendan dengan mengambil kira keputusan hakim tersebut dan ia akan diputuskan pada 28 Ogos 2012.
Hujah pihak plaintif adalah jelas, kerajaan negeri berhak untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana pihak berdasarkan Seksyen 3 Akta Prosiding Kerajaan 1956 di mana ‘Right of the Government to Sue for Civil Proceedings.
“Subject to this Act and of any written law where the government has a claim against any person which would, if such claim had arisen between subject, afford ground for civil proceedings, the claim may be enforced by proceedings taken by or on behalf of the government for that purpose in accordance which this Act.”
Seksyen itu jelas memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnahnya.
Adakah kerajaan negeri ada jalan lain dengan membuat laporan polis terhadap fitnah itu bagi membolehkan Syed Azman diheret ke perbicaraan jenayah?
Tuduhan yang dibuat Syed Azman jelas dan terang memfitnah Kerajaan Terengganu! Malah, laporan Audit Negara tidak menyebut perkataan ‘menyeleweng’, sebaliknya memuji program itu membawa kebaikan kepada rakyat.
Berhubung isu sama ada Menteri Besar mempunyai locus standi atau sebaliknya untuk memfailkan saman fitnah juga meleset.
Dalam kes Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menang saman fitnah sebanyak dua kali terhadap Utusan Malaysia pada Disember 2011 dan Jun 2012, adakah peguam pihak defendan, Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairuddin masih mahu berhujah Menteri Besar Terengganu tidak layak untuk failkan saman terhadap anak guamnya dan Harakah?
Sebagai Penolong Setiausaha Agung Pas, Syed Azman tentu tidak lupa tindakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menghantar notis saman kepada akhbar New Strait Times (NST) dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.
Malah, baru-baru ini Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu Kerajaan negeri itu memutuskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MCA dan semua pihak yang terbabit terhadap dakwaan penyelewengan RM1 bilion berhubung isu Talam Corporation Bhd.
Dalam kes berkenaan Kerajaaan Trengganu dan tiga plaintif yang diwakili oleh Abu Bakar Jais, Abdullah Wahbi Omar dan Edynoor Hifnee Razali, hujahan yang difailkan 30 Julai ini akan diputuskan hakim pada 28 Ogos depan.
Berdasarkan perkara itu, plaintif pertama iaitu Kerajaan Terengganu boleh dijadikan pihak bagi kuasa tindakan tort fitnah dan Tetuan Hisham, Sobri & Kadir mempunyai locus standi untuk mewakili plaintif pertama yang dinyatakan dengan jelas di dalam Seksyen 24(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956.