Halaman

02 August 2012

JKNT buka kaunter berhenti merokok

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) membuka kaunter berhenti merokok di bazar-bazar Ramadan terpilih di negeri ini sebagai langkah membantu perokok menghentikan tabiat masing-masing.

Pengarah Jabatan itu, Dr Anwa Sulaiman berkata, gerai atau kempen yang dilaksanakan sejak 1 Ramadan lalu menerima sambutan positif di kalangan masyarakat yang rata-ratanya serius ingin untuk berhenti merokok.

“Pihak kami juga telah mengambil inisiatif mempromosikan amalan gaya hidup sihat di masjid dan kemudahan kesihatan melalui kain rentang dan bunting berkaitan berhenti merokok serta hak masyarakat untuk hidup bebas tanpa asap rokok.

“Pelbagai usaha lain turut dilaksanakan bagi mengatasi masalah merokok ini, antaranya termasuk menguatkuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) yang berkuatkuasa pada 24 September 2004, memperuntukkan ketetapan kawasan larangan merokok,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tempat-tempat yang sentiasa menjadi tumpuan penguatkuasaan adalah kawasan Institusi Pengajian Tinggi, hospital, premis-premis kerajaan, perhentian pengangkutan awam,stesen minyak dan pasar raya.

“PPKHT 2004 juga mempunyai peruntukan tertentu untuk mengawal pengiklanan hasil tembakau, larangan pengedaran sampel percuma, larangan tajaan, bilangan rokok dalam sesuatu bungkusan, pelabelan dan bentuk pembungkusan paket rokok, tanggungjawab mempamer larangan penjualan hasil tembakau kepada orang belum dewasa (OBD) serta peruntukan tambahan tempat-tempat dilarang merokok,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga beberapa kesalahan yang sering dilakukan peniaga, termasuk menjualnya kepada kanak-kanak di bawah unur, tiada label larangan menjual hasil tembakau kepada tertentu dan sebagainya.

“Selain penguatkuasaan, usaha promosi secara berterusan dijalankan bagi membantu perokok untuk berhenti merokok dan seterusnya melindungi orang sekelilingnya dari asap rokok.

“Oleh itu, bagi perokok yang berminat untuk berhenti merokok dan sesiapa yang mempunyai ahli keluarga yang merokok yang memerlukan maklumat untuk berhenti merokok, kunjungilah klinik kesihatan berdekatan untuk mendapat bantuan untuk berhenti merokok,” katanya.