Halaman

03 September 2012

MB di majlis Sambutan Aidilfitri di Pesama Timber Corporation Sdn Bhd

Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra
Dato' Seri Haji Ahmad Said menyendok air batu cendol untuk diagihkan kepada orang ramai pada majlis Aidilfitri Pesama Timber Corporation Sdn Bhd, Kemaman.

Menteri Besar dan isteri turut menyampaikan duit raya kepada murid sekolah.

Murid dari beberapa sekolah seluruh Chukai, Kemaman gembira memperolehi duit raya.



02 September 2012

Dana bantu pesakit buah pinggang

Oleh; Esah Abdullah

Terima kasih kepada kerajaan yang menghulur bantuan kewangan dan ini dapat meringankan beban kami sekeluarga, kata Siti Amirah Ghazali, 21 anak kepada pesakit buah pinggang Encik Ghazali Abdullah.

Bantuan di bawah Dana Sosial Perubatan berjumlah RM18,127 telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir semalam.





Kos berkenaan untuk menampung pembelian pelbagai keperluan seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan pengangkutan untuk membawa pesakit yang akan mengadakan rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Dato’ Ahmad Razif, berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu untuk meringan beban keluarga berkenaan yang terpaksa membelanjakan kira-kira RM3,000 sebulan.



Ghazali 55, penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 itu dikesan mengidap penyakit buah pinggang sejak 2007 dan penyakitnya semakin serius selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala pada April lalu yang memyebabkan koma selama dua bulan.

Ghazali yang hanya mampu berbaring telah berpisah dengan isterinya dan kini dijaga sepenuhnya oleh dua anak perempuannya iaitu Siti Amirah 21 dan Siti Puspawani 18, di rumah yang disewa RM150 sebulan.







Jamuan Raya MBKT dibanjiri 10,000 warga kota

Oleh: Aida Abd Rahman
Sejajar dengan piagam Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) yang sentiasa dekat dan menjaga hubungan dengan pelanggan , sambutan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012 MBKT berjaya mencapai matlamat untuk menarik kehadiran lebih 10,000 penduduk tempatan khususnya warga bandar raya.

Majlis diadakan secara terbuka di Perkarangan Kelab Eksklusif MBKT, Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu bermula sejak jam 10 pagi berakhir empat jam kemudian menyediakan pelbagai juadah pembuka selera seperti nasi minyak, nasi dagang, keropok, cendol, kuih-muih dan minuman pelbagai perisa.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata susulan sambutan luar biasa pengunjung di majlis itu pada tahun lalu, pihaknya meningkatkan peruntukan seratus peratus sehingga mencecah RM150,000 bagi memastikan lebih ramai warga bandar raya dapat menyertai acara berkenaan tahun ini.

“Orang ramai khususnya warga bandar raya kita jemput ke majlis hari raya ini dengan hebahan menerusi pelbagai media cetak dan elektronik, selain kain rentang yang digantung di kawasan strategik sekitar Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah, kita berjaya menyampaikan maklumat mengenai majlis itu sekali gus hasrat mendekatkan warga bandar raya dengan MBKT dalam program seumpama ini yang hanya berpeluang dilaksanakan setahun sekali akhirnya tercapai,” katanya ketika ditemui di Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012 MBKT, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan pemimpin politik Umno mahu pun Pas.

Dato’ Adzlan berkata, MBKT menganjurkan acara itu secara terbuka di luar bangunan MBKT sejak tahun lalu dan sambutan yang meriah sebelum ini menyebabkan kita mengambil inisiatif menggandakan peruntukan membiayai majlis yang sama pada tahun ini.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sebahagian juadah sudah dihabiskan tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia, bangsa dan juga masyarakat termasuk kaum India dan juga Tionghua.

“Malah, MBKT turut memastikan kesemua tetamu dapat menikmati hidangan dengan menyediakan makanan yang dimasak segera oleh petugas yang sentiasa bersiap-sedia sehingga selesai majlis berkenaan,” katanya.



Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Wakaf Mempelam dimeriahkan 7,000 tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 7,000 tetamu di kalangan penduduk sekitar Kuala Terengganu khususnya dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam membanjiri Rumah Terbuka anjuran DUN berkenaan, di Jalan Kelantan, Kampung Bukit Kubang Jambu, semalam (1 September).



Majlis yang dikepalai Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah bermula sejak jam 10.30 pagi dan berakhir empat jam kemudian, dikunjungi pelbagai lapisan usia dan latar belakang penduduk, selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin setempat.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Terengganu, Pengerusi jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, AJK Pemuda, AJK Penyelrasa Wanita.

Haji Wan Mahyuddin mengambl kesempatan di majlis itu untuk mengucapkan salam Aidilfitri dan memohon maaf mewakili dirinya, keluarga serta kakitangan Pejabat Pembangunan DUN atas segala kesalahan sepanjang menerajui kepimpinan di DUN berkenaan.



Beliau turut berharap, majlis itu menjadi medan bagi merapatkan silaturahim dan menjernihkan segala kekeruhan yang berlaku selama ini.

“Pada masa yang sama, pada hari baik dan bulan yang baik ini, saya berharap orang ramai tanpa mengira latar belakang dan kefahaman politik yang sudi hadir di majlis ini sama-sama memuhasabah diri dan menilai semula segala jasa dan pengorbanan para pemimpin yang menerajui kerajaan hari ini.

“Dalam suasana kita mengecap nikmat dan rezeki yang diperolehi hari ini, kita harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan kerajaan yang mampu menunaikan hasrat dan mendengar suara rakyat yang memerlukan. Oleh itu, pada pilihan raya umum nanti marilah kita membuktikan sokongan dan menzahirkan terima kasih dengan memilih kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Selain itu, tetamu yang membanjiri majlis itu berpuas hati dan ceria kerana berpeluang menikmati pelbagai juadah menyelerakan seperti nasi minyak, nasi dagang, mee goreng dan air cendol pada acara yang diadakan setahun sekali itu.

YIT pelawa orang ramai tubuh kelas agama

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) mempelawa orang ramai menubuhkan Kelas Bimbingan Agama Belia di setiap kampung.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata langkah itu sangat wajar kerana hanya 59 kelas bimbingan seupama itu dicatatkan di seluruh Terengganu.

“Ia perlu ditambah bagi memberi peluang kepada belia mendalami ilmu agama secara lebih mendalam terutama berkaitan bacaan al-Quran,” katanya.

Katanya, kelas-kelas agama sebegini mampu membimbing golongan belia membina hala tuju yang betul kerana banyak dapat dipelajari, malah ia sememangnya dituntut agama Islam.

“Diharapkan dengan tertubuhnya kelas agama itu di kampung-kampung, sekurang-kurangnya ramai belia mampu membaca al-Quran dengan betul dan lebih tepat.

“Kita bersedia membantu jika ada mana-mana pertubuhan dan Badan Bukan Kerajaan ingin berbuat demikian,” katanya.

Haji Md Kamaru Al-Amin turut memberitahu, permohonan menjadi guru khidmat masyarakat sentiasa mendapat sambutan.

Menurutnya, dianggarkan 200 permohonan yang diterima pihaknya setiap tahun bagi menggantikan guru bersara dan permohonan untuk menjadi guru baru di kampung.

“YIT mengenakan syarat yang agak ketat untuk seseorang itu memohon sebagai guru khidmat masyarakat, termasuk perlu menghadiri kursus, mendapat sokongan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) dan wakil rakyat kawasan,” katanya.


Mohd Saufi muncul juara




Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Saufi Mat Senan muncul juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Kejohanan Fiesta Jemputan Terengganu 2012 (TICF 2012) apabila menewaskan jaguh pecut tersohor, Anuar Manan di Trek Palma Serdang sejauh 80 kilometer semalam.

TICF 2012 merupakan acara pra-Kejohanan Basikal Bukit Kebangsaan 2012 yang akan diadakan di Trek Palma Serdang hari ini (esok) dan tonggak TSG tersebut mengambil keputusan untuk keluar memecut lebih awal tatkala perlumbaan tinggal cuma 500 meter kerana mengetahui Anuar jelas lebih bertenaga pada henjutan ke garisan penamat.



Mohd. Saufi yang dianggap lebih perkasa pada laluan berbukit merakam masa 1 jam 56 minit 54 saat meninggalkan Anuar yang keciciran dua saat di belakang untuk merangkul hadiah kemenangan RM1,000.

Anuar pula kemudian mudah mengetepikan cabaran pelumba TSG, Yusrizal Usoff manakala Mohd. Nor Ridzuan Zainal yang mewakili pasukan Malaysia pula menamatkan perlumbaan hampir 20 saat di belakang bersama seorang lagi tonggak TSG, Mohd. Saiful Anuar Aziz untuk menduduki tempat ke-4 dan ke-5 dengan catatan 1:57:19s.

"Saya gembira kerana mampu tewaskan Anuar. Saya terpaksa bertindak cepat kerana tahu Anuar lebih hebat dalam henjutan jarak dekat. Jadi saya keluar lebih awal dan saya berjaya kekalkan henjutan sehingga ke garisan penamat," kata Mohd. Saufi.

Kategori elit wanita sejauh 40km pula menyaksikan tercetusnya kontroversi apabila naib juara, Nurul Shuhada Zainal dari Terengganu hampir dibatalkan kemenangannya apabila dikatakan menghimpit pemenang tempat pertama, Masziyaton Mohd Radzi dari Kedah ketika memecut ke garisan penamat.





Kerusi roda cerikan Aidilfitri

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah kerusi roda mampu menceriakan suasana Aidilfitri, Encik Abdullah Isa, 63 yang sebelumnya terlantar di katil akibat kemalangan di sambar api dua minggu sebelum menjelang 1 Syawal lalu.



Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit , YB Haji Khazan Che Mat ke rumahnya di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit memberi sinar baru kepada pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Bukit Wan itu.

“Syukur dan terima kasih di atas pemberian kerusi roda ini yang memudahkan untuk saya bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya.



Kemalangan berlaku tanpa diduga ketika membantu salah seorang anaknya menghidupkan api untuk membakar ikan di laman rumah di mana api tiba-tiba menyambar dan membakar seluar mengakibatkan kaki hingga ke paras lulutnya cedera parah.

Pihalk Hospital Sultanah Nur Zahirah ((HSNZ) terpaksa melakukan pembedahan di paha beliau bagi menampal luka terbakar dan memberi cuti dua bulan untuk pulih dan kembali bekerja.




01 September 2012

50,000 banjiri Rumah Terbuka Menteri Besar

Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman penuh dengan semangat 1Malaysia dan luar biasa apabila dihadiri hamper 50,000 rakyat daripada pelbagai kaum.
Dato' Seri Haji Ahmad Said sempat menolong membakar satay untuk tetamu rumah terbuka Aidilfitrinya di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman. - Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Rumah terbuka yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir 3 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat saling beramah mesra, selain menikmati pelbagai juadah di lebih 40 gerai yang disediakan.

Puluhan ribu tetamu mengunjungi rumah terbuka Menteri Besar di Teluk Kalong seawal jam 8.30 pagi lagi.

Rumah terbuka itu menyaksikan Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud bersama pemimpin kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman turun padang untuk beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.

Sambutan luar biasa masyarakat termasuk dari luar Kemaman itu menyaksikan orang ramai berpusu-pusu seawal pukul 7.30 pagi lagi untuk bertemu dengan pemimpin yang mereka sayangi itu walaupun majlis hanya dijadualkan bermula 9 pagi.
Doktor pakar pembedahan jantung di i-Heal, Kuala Lumpur, Dr, David Khoo Sin Keat (kanan) turut meriahkan rumah terbuka Menteri Besar.

Malah sehingga pukul 2 petang, orang ramai masih terus bersilih ganti memenuhi pekarangan kediamannya, lokasi penganjuran rumah terbuka itu.

Turut kelihatan, beberapa Exco kerajaan negeri seperti Dato’ Mohamad Awang Tera, Datuk Zaabar Mohd Adib dan Ashaari Idris.

Paling gembira, golongan kanak-kanak yang menerima duit raya daripada Dato’ Seri Ahmad dan isteri selain mengambil kesempatan untuk bersalaman serta bergambar dengan ADUN Kijal itu.



Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan lagu raya oleh kumpulan SUKTRA.


Pengunjung yang hadir pada majlis itu menyifatkan sambutan tahun ini cukup istimewa dengan jumlah kehadiran meningkat saban tahun.

Ia kerana bagi mereka penganjuran rumah terbuka kali ini lebih ramai pengunjung yang datang dan sajian makanan pula lebih banyak berbanding sebelum ini.

Menurut seorang pengunjung dari Kemasik, Kemaman, Nordin Mohd Tahir, 34, ia merupakan kali ketiga dia bersama isteri dan anak mereka datang ke rumah terbuka Menteri Besar di Kijal.

"Saya lihat kunjungan orang ramai pada tahun ini meningkat berbanding tahun sebelum ini.

"Malah kerusi dan meja yang disediakan juga lebih banyak dan memudahkan orang ramai yang hadir untuk menikmati makanan yang disediakan," katanya ketika ditemui hari ini.

Wee Ah Kiam, 48, berkata, dia bertuah kerana dapat merasai semangat 1Malaysia melalui sambutan rumah terbuka itu.

"Tiada apa dapat saya katakan selain terlalu gembira dengan keunikan budaya di negara ini yang dapat dikongsi semua kaum.
"Saya harap budaya dan semangat seperti ini akan berterusan sampai bila-bila," katanya yang merupakan penduduk Chukai, Kemaman.

Bagi seorang pengunjung dari Paka, Dungun, Wan Abdul Aziz Wan Seman, 56, berkata, dia gembira kerana dapat bersama-sama dengan pemimpin negeri meraikan sambutan hari raya ini.

"Penganjuran majlis seperti ini menunjukkan bahawa kita di negeri ini tanpa mengira latar belakang, miskin dan kaya dapat bersama-sama meraikan sambutan perayaan dengan aman," katanya.



Sambutan raya Bahagian Kuala Nerus meriah



Bekas Juara Akademi Fantasia Musim Keempat (AF4), Mohammad Faizal Ramly atau lebih dikenali Faizal AF, menyerikan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Umno Bahagian Kuala Nerus yang diadakan di perkarangan pejabat Parlimen Kuala Nerus, hari ini.



Hampir 10,000 pengunjung membanjiri perkarangan itu bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri sambil menyaksikan persembahan artis-artis tempatan yang diketuai Faizal AF.

Beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, termasuk Dato’ Ahmad Haji Razif Abd Rahman, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Dato’ Toh Chin Yaw, turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan pemimpin kanan Umno Bahagian Kuala Nerus serta pemimpin masyarakat.



Majlis tersebut bermula kira-kira jam 11 pagi dan berakhir pada sebelah petang di mana orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak putus-putus berkunjung ke tapak majlis.

Tetamu dihidangkan dengan pelbagai menu menarik, termasuk sate, nasi minyak, apam balik, tapai dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.



Penduduk DUN Jabi gotong royong buat persiapan sambut Perdana Menteri



Oleh: Mohammad Ishak

Penduduk dari beberapa kampung dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi,Setiu dengan penuh semangat keluar menyertai gotong royong membersiah lokasi yang akan dijadikan tempat perhimpunan sambutan Jamuan Rakyat bersama Perdana Menteri,Dato’Seri Najib Tun Razak,pada 6 September ini.

Majlis yang akan berlangsung di Padang Bola Kampung Tempin is,Tasik Tok Lebai itu dijangka dihadiri lebih 100,000 rakyat dari lapan DUN di Parlimen Setiu dan Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Jabi, Ramlan Ali yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu berkata, kehadiran Perdana Menteri ke kawasan itu mencatat sejarah kerana seorang pemimpin negara pertama berkunjung ke kawasan pedalaman itu.

Beliau yang turut hadir memantau kerja gotong royong membersih kawasan perhimpunan terbesar itu bangga dengan semangat penduduk yang bergotong royong untuk mengindahkan kawasan berkenaan hari ini.

Katanya, sempena kahidiran Perdana Menteri itu,pihak penganjur sudah bersedia untuk menyediakan 150 ekor lembu dan kerbau yang akan disembelih untuk dimasak dan dijamu kepada semua yang hadir.

Pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan diatur bagi memeriahkan program sempena lawatan sulong Dato’Seri Naijb yang juga Presiden UMNO ke DUN Jabi.

Antara program bakal diadakan termasuklah gotong royong memasak, sukaneka dan persembahan pentas, selain pameran oleh pelbagai jabatan dan agensi keranaan peringkat negeri dan persekutuan.