Halaman

17 September 2012

GAGASAN MERAKYAT AHMAD SAID KIAN TERSERLAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bahagian Kedua

Gagasan “merakyat’ yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sebaik sahaja dilantik Menteri Besar Terengganu, sebenarnya kian diperkatakan oleh banyak pihak.

Terbaru Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru Datuk Dr Ali Hamsa meminta penjawat awam meningkatkan prestasi perkhidmatan bagi ‘merakyatkan” perkhidmatan awam kepada masyarakat di negara ini.

Dato’ Seri Ahmad menyebut ‘merakyatkan pentadbiran’ dan Ketua Setiausaha Negara menyebutnya sebagainya ‘merakyatkan perkhidmatan awam’, tetapi hakikatnya sama iaitu perkhidmatan awam dan pentadbiran mestilah menjuruskan faedah yang setingginya untuk rakyat.

Kita sudah sekian lama mardeka, sekian lama memiliki kerajaan sendiri, kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sudah tentu rakyat menjadi keutamaan dalam setiap jurus pembangunan.

Dr.Ali Hamsa berkata penjawat awam merupakan golongan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan segala tindakan dan dasar kerajaan serta menjadikan rakyat sebagai teras kepada segala gerak kerja yang dilakukan.

"Anggap diri kita (penjawat awam) sebagai rakyat kerana sudah pasti kita akan melaksanakan apa yang diamanahkan kerajaan dengan lebih komited.Mari kita (penjawat awam) merakyatkan perkhidmatan agar khalayak sasaran kita (rakyat) merasai segala pelan dan dasar yang kerajaan rancangkan untuk mereka," katanya pada majlis perasmian Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) bil. 1/2012 di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), baru-baru ini.

Rakyat Terengganu tentunya berbangga kerana mempunyai seorang Menteri Besar yang kecenderungannya ialah menolong rakyat.

Sesuatu yang tidak boleh dinafikan amat besar perbelanjaan kerajaan negeri masa kini adalah menjuruskan kepada kebajikan rakyat, pertolongan untuk rakyat dalam berbagai bentuk dan kaedah.

Perkara asas bagi semua orang ialah terutama tempat tinggal (perumahan) menjadi tumpuan Menteri Besar yang mesra dipanggil rakyat sebagai “Mat Said”.

‘Mat Said’ walaupun bersahaja sifatnya, banyak mengenepikan soal protokol dalam banyak perkara semata-mata untuk mendekati rakyat, tetapi itulah gaya asalnya, anak kelahiran Kijal dari sebuah keluarga petani atau pemanjat kelapa (Tok Nyadat) yang hidup dengan serba kekurangan di zaman kanak-kanak.

Sebulan lepas, seorang buruh yang bekerja membersih wad di Hospital Nur Zahirah memberitahu kepada penulis, suatu hari dia dan rakan-rakannya makan roti canai di sebuah warung di hadapan hospital berkenaan.

“Tiba-tiba datang Menteri Besar makan bersama mereka dan belanja kami semuanya. Sebagai golongan yang kerja begini, kami berbangga mempunyai seorang Menteri Besar seperti ini yang sanggup makan bersama kami di warung,” katanya terharu.

(BERSAMBUNG)


(SIRI SEBELUMNYA)


MB rancang penerbangan haji berjadual


Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi


Seramai 180 bakal jemaah haji daerah Kemaman diraikan kelmarin dengan kehadiran semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di daerah ini iaitu Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga ADUN Kijal, ADUN Chukai Dato’ Mohamed Awang Tera, ADUN Air Putih YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar dan ADUN Kemasik, YB. Ir Rosli Othman.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam ucapan beliau berkata, jemaah haji saban tahun semakin meningkat dan masih ramai lagi yang menunggu dengan pemohonan yang lama.

Selain sihat tubuh badan, mampu dari segi kewangan dan keamanan negara, halangan yang utama adalah undang-undang ketat Arab Saudi yang hanya menghadkan 1% sahaja daripada jumlah penduduk negara untuk kesana.

“Sehubungan itu, kerajaan Malaysia cuba berbaik dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan kita mendapat penambahan kuota setiap tahun.

“Keadaan ini tambah merungsingkan apabila kita terpaksa buat rayuan untuk kali kedua bagi menambah bilangan jemaah haji walaupun sudah mendapat penambahan sebanyak 10,00 setiap tahun namun masih belum mendapat sebarang keputusan,” katanya.

Kebiasaannya kerajaan negeri akan menghantar 100 orang yang terpilih seperti JKKK mahupun kakitangan kerajaan yang cemerlang untuk menunaikan haji. Namun dalam keadaan ini kerajaan bimbang bilangan ini akan merosot.

Beliau telah lama merancang untuk membuat jadual penerbangan dari Terengganu ke Kuala Lumpur ke Jeddah manakala Jeddah ke Kuala Lumpur dan terus ke Terengganu, di mana ia akan diusahakan segera bagi memudahkan rakyat negeri untuk menunaikan ibadat haji.

Pengurus Lembaga Tabung Haji Daerah Kemaman, Amir Hamzah Mohd Rani berkata bagi pihak Tabung Haji telah cuba membantu dan membimbing bakal jemaah membuat persediaan dan persiapan yang lengkap untuk menghadiri perhimpunan agong nanti.

Dan beliau berharap semua bakal jemaah membuat persiapan yang rapi sebelum ke tanah suci yang bakal berlepas pada 17 September di KLIA dan penerbangan pertama di Terengganu pada 28/29 September.






16 September 2012

IKIA berharga RM20 juta bakal dibangunkan di TTI


Oleh; Esah Abdullah

Sebuah Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang berharga RM20 juta bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.


Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melawat replika IKIA sambil disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di TTI sempena Terengganu International Islamic Art Festival 2012

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, institut ini bakal diurus bersama antara TTI, Institut al-Quran Terengganu (IQT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).


Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu

“IKIA akan menggunakan modul pembelajaran yang diguna, dipantau dan diiktiraf oleh OIC Research Institute of Islamic History Art and Culture (IRCICA),” .

“Usaha ini diharap akan mengembalikan kecemerlangan sejarah negeri Terengganu didalam mendaulatkan Islam, sebagaimana tersirat pada inskripsi jawi yang tertera pada Batu Bersurat Terengganu,”.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF) di TTI semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan TIIAF 2012. Hadir sama Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pengarah IRCICA Dr Halit Eren dan Pengerusi TTI, Datuk Haji Zuber Embong.

Katanya, kewujudan institut ini akan menjadi penawar kepada seluruh masyarakat nusantara dan Asia yang kini menanti-nantikan kehadiran pembelajaran seumpama itu di rantau ini.

Menurut Menteri Besar , IKIA akan dilengkapi dengan dewan konvensyen, bilik pameran , bilik tenaga pengajar, tempat jualan kaligrafer dan sebagainya.

“Kita akan masukkan bajet buat institut ini dalam pembentangan bajet kerajaan pada bulan Disember ini dan tahun depan mungkin projek ini dapat dimulakan,” katanya.

Tambahnya, pada kebiasaan tempoh pembinaan dijangka memakan masa dua tahun dan tidak menolak kemungkinan lebih dari itu, ia bergantung kepada kontraktor.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga memaklumkan bahawa mulai tahun depan, orang ramai akan dapat melawat TTI pada waktu malam bila kerja pemasangan lampu pencahayaan di sekitar TTI siap.

“InsyaAllah kalau sempat kita berhasrat untuk mengadakan majlis menyambut malam tahun baru 2013 di sini (TTI),” katanya.






15 September 2012

DATO' SERI HISHAMUDDIN TUN HUSSEIN DI KUALA BERANG

Sekitar suasana meriah rakyat dan perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu menyambut kedatangan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu, hari ini (15 September 2012).

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Dato' Seri Hishamuddin disambut meriah sebaik tiba di Padang Astaka, Kuala Berang, untuk merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu, pagi tadi.

Majlis menaikkan bendera Umno.



Gimik perasmian memalu gong oleh Naib Presiden Umno.


Apa yang menarik perhatian Dato' Seri Hishamuddin sehingga tersenyum melihat cenderahati yang disampaikan oleh para perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Anggota JPAM bergambar bersama Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein dan para perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu, pagi ini.

Gelombang luar biasa Hulu Terengganu

Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Sekali lagi Hulu Terengganu mencipta sejarah tersendiri apabila mengadakan mesyuarat persidangan Umno Bahagian Hulu Terengganu di luar dewan yang cuma berbumbungkan kanopi di Padang Astaka Kuala Berang yang disertai 1,136 orang perwakilan.

Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein disambut ribuan perwakilan sebaik tiba di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Berbekalkan semangat yang kental ,Umno Bahagian Hulu Terengganu terus bangkit untuk meneruskan persidangan berikutan tidak mempunyai dewan tertutup yang mampu menampung lebih daripada seribu orang pada satu-satu masa.


Naib Presiden Umno, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussien merangkap Menteri Dalam Negeri merasmikan persidangan itu.

Beliau melahirkan rasa bangga dan turut menyatakan bahawa gelombang yang bangkit pada hari ini merupakan satu gelombang semangat yang luar biasa bagi Umno Hulu Terengganu.

“Beratnya tanggungjawab para pemimpin untuk memastikan rakyat hidup aman damai dan harmoni seperti yang ada pada hari ini.Saya selaku Menteri Dalam Negeri tetap akan pertahankan apa yang kita semua ada pada hari ini.Sudah menjadi adat parti pembangkang bahawa 10 perkara baik tidak akan digembar- gemburkan tapi apabila ada satu perkara yang tidak baik,maka ianya akan di hebohkan untuk menyuntik kebencian kepada pemimpin,”katanya.


Beliau turut menekankan bahawa jika Umno tidak berubah pada hari ini,maka nasib yang menimpa negara luar juga boleh terjadi di Malaysia.

Katanya, parti pembangkang menggunakan kaedah serangan bertubi-tubi kepada intitusi dan agensi terutama kepada agensi keselalamatan seperti PDRM,SPRM dan sistem mahkamah.




Menurutnya, aliran maklumat tanpa sempadan digunakan sepenuhnya oleh pembangkang untuk membuat serangan isu-isu untuk membangkitkan kebencian kepada pemimpin.

“Politik menabur fitnah,politik adu domba,politik melagakan kaum,politik adakan rusuhan kaum serta politik kebencian adalah mainan mereka.Maka kita sebagai orang Umno akan melawan secara bijaksana dengan menggunakan gelombang keamanan serta gelombang kesetiaan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional di setiap kerusi-kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tanpa mengira calon-calon yang dipertandingkan,” katanya.


Kediaman Dato' Yahya dibanjiri lebih 15,000 tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis rumah terbuka anjuran Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, meriah apabila dibanjiri lebih 15,000 tetamu di kalangan penduduk tempatan khususnya dari kawasan Marang dan Kuala Terengganu.

Dato’ Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri turut mengadakan majlis perkahwinan anak ketiganya, Syamimi Syahidah dengan pilihan hatinya, Mohd Ilmi Hidayat Yunus dari Kuala Pilah di kediamannya itu, di Binjai Rendah, Marang, hari ini.



Majlis yang berjalan lancar bermula jam 11 pagi berakhir lewat petang dikunjungi pelbagai lapisan penduduk termasuk tetamu kenamaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, turut hadir kira-kira jam 12 tengahari.

Dato' Seri Haji Ahmad dan isteri kemudiannya menepung tawar kedua mempelai di pelamin, sebelum beliau mengiringi Dato’ Yahya dan isteri, To' Puan Rosnani Ngah memotong kek sempena hari lahir Ketua Bahagian Marang itu.

Selang dua jam kemudian, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Naib Presiden Umno sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Badan perhubungan Umno Bahagian Hulu Terengganu.






35 pelajar Sekolah Menengah Kuala Besut berkayak ke Pulau Perhentian dan Redang



Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Kuala Besut (SMK), ingin mencipta sejarah dengan berkayak menyeberangi Laut Cina Selatan menuju Pulau Perhentian dan Pulau Redang, sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Mereka turut diiringi tujuh guru dan pasukan keselamatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Laut bagi memenuhi impian pelajar terbabit.

Pelajar berkenaan berlepas jam 9 pagi semalam menuju Pulau Perhentian dan bermalam di pusat pelancongan itu sebelum meneruskan cabaran ke Pulau Redang esok.

Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria melakukan upacara pelepasan peserta kayak yang pertama kali disertai pelajar negeri ini untuk sampai ke dua destinasi kepulauan terkenal di Terengganu.

Program yang mendapat tajaan Bank Rakyat itu membabitkan perjalanan sejauh 95 batu nautika dan akan mengambil masa sembilan jam untuk sampai ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Sebelum menyertai program itu peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan enam sudah menjalani latihan ketahanan fizikal selama dua minggu sebagai persediaan menghadapi cabaran berkenaan.

Program yang julung kali disertai pelajar di negeri ini mencatat sejarah tersendiri kepada sekolah berkenaan kerana berjaya membentu skuad berkayak yang mempu menempoh gelora Laut Cina Selatan

Sultan Mizan berangkat rasmi TIIAF 2012

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bekenan berangkat merasmikan Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF 2012) , di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pagi ini (15 September).


Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan melukis seni khat perkataan ‘ Bismillah Hirrahmanirrahim’ pada skrin yang tersedia di sebelah pentas di Raja.

Keberangkatan Baginda ke majlis disambut oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pengarah IRCICA Dr Halit Eren dan Pengerusi TTI, Datuk Haji Zuber Embong.

Majlis perasmian dimulakan dengan persembahan demontrasi dua pelukis seni khat ayat-ayat suci al-Quran yang diiringi muzik serta persembahan Amanat Muzikhat.

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan melukis seni khat perkataan ‘ Bismillah Hirrahmanirrahim’ pada skrin yang tersedia di sebelah pentas di Raja.


Sultan Mizan Zainal Abidin mendengar taklimat ringkas mengenai pertandingan Khat yang diadakan di TTI.

TIIAF 2012 berlangsung selama empat hari bermula semalam dengan tema ‘devotion to Islamic Art’ yang dijangka mampu memertabatkan nilai-nilai kesenian Islam terutama seni khat ke tahap yang lebih tinggi.


Sultan Mizan Zainal Abidin dan Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said melawat replika bangunan Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa, Terengganu

Penganjuran kali ini telah melibatkan penyertaan 17 buah negara meliputi negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand dan negara-negara Asia ain seperti Jepun, China, India dan Pakistan.

Penyertaan festival kali ini adalah dalam bentuk pertandingan penulisan khat, pameran, seminar dan bengkel seni khat dibimbing oleh kaligrafer ternama antarabangsa yang diundang khas seperti Adnan Sheikh Othman dari Syria, Ms Nuria Garcia Macep (Sepanyol), Sherin Abdelsaber Abdelhalim (Mesir) serta Abdul Baki Abu Bakar dan Ustaz Halias Abu Bakar (Malaysia).





Masyarakat yang faham tulisan jawi turut hampir dengan al-Quran-MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan percaya masyarakat yang faham dan dekat dengan tulisan jawi akan turut hampir kepada kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup setiap muslim.


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap di Majlis Perasmian Terengganu International Islamic Art Festival di Taman Tamadun Islam

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, al-Quran diwahyukan dalam Bahasa Arab yang pada asasnya menggunakan tulisan jawi sebagai pengantara penulisannya.

“Umpama bertasbih, bait-bait penulisannya berterusan mengingatkan kita kepada ayat-ayat suci Allah swt dan begitulah hampirnya tulisan khat yang menjadi nadi kepada penulisan al-Quran,” katanya di majlis perasmian Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF 2012) di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan festival berkenaan. Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pengarah TTI Datuk Haji Zuber Embong.

Katanya, festival kali ini membawa kelainan daripada kebanyakan festival seumpamanya yang pernah dianjurkan didalam mahupun luar negeri dengan memperkenalkan cabang lain termasuk batik-khat yang mengabungkan tradisi pembuatan batik Terengganu menggunakan motif tulisan jawi.

“Turut diperkenalkan muzik-khat iaitu suatu persembahan muzikal berkonsepkan zikir yang dialun dengan permainan peralatan muzik tradisional,” katanya.

Menteri Besar berkata, pengiktirafan terhadap festival ini oleh pihak OIC Research Institute of Islamic History Art and Culture (IRCICA) menjadi matlamat kerajaan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.



Katanya, IRCICA yang menjadi badan pengawas bagi aktiviti kesenian negara-negara Islam itu bersetuju dan menyokong kegiatan aktiviti kesenian Islam khususnya dalam bidang kaligrafi Islam melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri akan melaksanakan usaha berterusan untuk memertabatkan tulisan jawi melalui konsep memasyarakatkan tulisan jawi dalam persekitaran kehidupan rakyat di negeri ini.






Jalan empat lorong dari Kemaman-Kuala Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Dato' Seri Haji Ahmad Said memalu gendang cina gimik perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-10 Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman dan Pesta Tanglung 2012 di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, malam tadi.

Kerajaan Terengganu akan membina jalan empat lorong dari Kemaman hingga Kuala Terengganu bagi keselesaan pengguna dan sebagai sebahagian usaha mengurangkan kesesakan dan kemalangan jalan raya.

Buat permulaan, jalan empat lorong dari Kuantan hingga Kerteh sedang dalam pembinaan dan ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jalan dan laluan yang lebih selesa ini merupakan komitmen Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu ke arah menyediakan prasarana yang lebih baik kepada penduduk negeri ini.

“Kerajaan telah menyerahkan beberapa pakej pembinaan jalan empat lorong dari Bandar Cukai ke Kerteh kepada kontraktor berkenaan dan pelaksanaannya sedang berjalan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-10 Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman dan Pesta Tanglung 2012 di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu, isteri beliau, To’ Puan Seri Norilza Mahmud dan pemimpin dari masyarakat Cina.


Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, beberapa pakej projek pembinaan jalan empat lorong dari Kerteh ke Kuala Terengganu akan diserahkan kepada kontraktor secara berperingkat-peringkat.

“Pada akhirnya kerajaan mahu jalan raya dari Cukai ke Kuala Terengganu, semuanya menjadi empat lorong bagi keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, banyak lagi projek prasarana dan projek lain yang boleh membantu menambah peluang pekerjaan dilaksanakan di negeri ini, khususnya di daerah Kemaman.