Halaman

12 September 2012

UMNO, BN DAN KERAJAAN NEGERI TERENGGANU DI HATI RAKYAT

BAHAGIAN 1

Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu sudah berada di landasan siap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13.

Sudah tentu sebagai parti yang diberi amanah mentadbir negeri dan pusat, ia akan sentiasa memikirkan sesuatu yang terbaik untuk rakyat dari semasa ke semasa.

Difahamkan manifesto khas atau tambahan peringkat negeri akan diumumkan kepada rakyat Terengganu tidak lama lagi sebagai tambahan kepada pelbagai program pembangunan yang sedang dinikmati rakyat.

Maksud manifesto ialah, satu pernyataan umum atau deklarasi yang digunapakai oleh seseorang atau sebuah parti politik sebagai pernyataan akan perjuangannya, bagi mendapat perhatian pengundi.

Manifesto yang baik ialah manifesto yang boleh membangkitkan rasa keinginan atau kebersamaan di kalangan pengundi ke arah perjuangan yang cuba diterajui oleh parti itu, bersesuaian benar dengan kehendak, naluri, pemikiran dan pegangan serta kehendak rakyat.

Sudah tentu bagi BN, tradisi membela rakyat akan menjadi teras. Walaupun Pas baru berbicara tentang negara kebajikan, tetapi BN dan Umno telah lama berjuang ke arah itu dan rakyat telah dapat menikmati tradisi Umno dan BN itu.

Umno dan BN Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said seorang pemimpin yang berpengalaman sama ada dalam kerajaan mahupun politik dilihat sedang mendapat sokongan kuat dari rakyat, dari peringkat pegawai kerajaan sehingga ke akar umbi.

Kehadiran rakyat di majlis-majlis BN dan kerajaan hingga puluhan ribu membuktikan sokongan pada pimpinan yang ada.

Gandingan pemimpin yang berjiwa dan berorentasikan rakyat di peringkat pusat dan negeri ini cukup akrab, malah Perdana Menteri sentiasa menyokong pendekatan merakyat di Terengganu dengan beberapa hadir sendiri menyaksikan sokongan padu rakyat kepada kerajaan BN Terengganu masa kini.

Di peringkat pegawai-pegawai tadbir sudah lama merasakan perlantikan Dato’ Seri Ahmad Said yang suatu masa dulu pernah menjadi pegawai tadbir negeri sebagai sesuatu yang cukup berharga.

Kedudukan rakan karib mereka itu, terutama bagi pegawai-pegawai yang seangkatan Dato’ Seri Ahmad cukup dirasakan suatu pengiktirafan kepada para pegawai berkenaan.

Apatah lagi, sikap Ahmad Said itu tidak berubah, mesra dan tawaduk dengan rakan-rakan seangkatan dulu, sekalipun beliau kini sudah bergelar Menteri Besar atau Ketua Kerajaan.

Gurau sendanya, hilai tawanya dengan kawan-kawan masih seperti dulu dan beliau berasa cukup rapat dengan para pegawai tadbir kerana itu juga institusi yang memulakan beliau sebagai anggota kerajaan.

Sesuatu yang tidak benar kalau ada tohmahan kononnya pegawai-pegawai kerajaan tidak sukakan Menteri Besar itu; suatu anggapan yang jauh dari kebenaran dan hakikat yang sebenar.

Peristiwa kejatuhan BN Terengganu 1999 tidak boleh disamakan sama sekali kerana dahulu isu Menteri Besar terlalu lama dan isu Anwar Ibrahim yang masa itu rakyat masih kabur.

Ahmad Said baru beberapa tahun menjadi Menteri Besar, bukan belasan atau puluhan tahun; justeru itu menyamakan 1999 dengan keadaan sekarang amat tidak logik sama sekali, apatah lagi keakraban Dato’ Seri Ahmad dengan para pegawai kerajaan negeri yang kebanyakannya sahabat-sahabat semasa sama-sama menjadi pegawai tadbir di tahun-tahun 80 an.

Sebenarnya, kecemerlangan Terengganu sekarang dengan pelbagai kejayaan dalam pendidikan, sukan, pentadbiran, perumahan dan sebagainya adalah hasil kerjasama rapat yang diberikan oleh para pegawai kerajaan kepada Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

(bersambung..)