Halaman

10 September 2012

Terengganu bakal aplikasi sistem pelupusan sampah Maldives

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri akan mengadakan lawatan ke Maldives bagi meninjau sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal di kepulauan yang menjadi tarikan pelancong seluruh dunia itu bagi dipraktikkan di negeri ini khususnya di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata beliau bersama rombongan yang terdiri daripada pejabat pelancongan negeri akan ke negara yang mengandungi gugusan kepulauan terumbu karang yang terletak di Lautan Hindi bagi mempraktikan sistem itu di Terengganu tidak lama lagi.


“Saya dan pelancongan negeri akan ke Sri Lanka untuk acara `Commonwealth Parliamentary Association' (CPA) dan akan ke Maldives (minggu depan)untuk melihat sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal, selain melihat satu pulau yang digunakan bagi membersihkan dan melakukan proses pengasingan (sampah).

“Selain itu, kita juga mahu melihat bagaimana Maldives sebagai negara tarikan pelancong yang terdiri daripada pulau-pulau dengan sistem perhubungannya menerusi landasan air dan kita akan menggunakannya sebagai rujukan apakah sesuai untuk diaplikasikan di Tasik Kenyir, di mana kita akan dapat melihat lautan air tawar yang begitu panjang sama ada boleh dijadikan landasan kepada kapal terbang sama ada Fokker ataupun kapal terbang yang lebih kecil yang mampu mendarat di dalam air menggunakan kepak atau sayap,” katanya di Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan, malam kelmarin (8 September).

Menurut beliau lagi, Maldives merupakan pulau yang terdiri daripada pasir-pasir yang timbul, tidak sama dengan Tasik Kenyir yang memiliki pelbagai sumber semula jadi tersendiri seperti hutan tropika serta air yang jernih dan bersih selain boleh digunakan tanpa perlu menjalani proses rawatan air.

“Kita akan meninjau dan seterusnya akan melihat kegunaan yang bersesuaian untuk kawasan kita dan apabila Kenyir siap dengan keseluruhan fasiliti dan kemudahan nanti, kita akan cuba untuk mengaplikasikan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, bukan sahaja di Kenyir, pulau lain seperti Pulau Kapas, Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah dan Pulau Redang juga berdepan dengan kerumitan untuk menguruskan sistem pepejal dan sampah-sarap ke daratan.

Malah, katanya terdapat juga tokan yang mengandungi sampah dibawa bot-bot nelayan yang mengambil kontrak mengangkut bahan buangan berkenaan, jatuh di tengah laut yang akhirnya boleh memberi kesan berpanjangan kepada hidupan laut terutama batu karang.

“Bagaimanapun, Tasik Kenyir juga agak berlainan kerana dikelilingi oleh daratan. Namun begitu daratan agak jauh dengan tasik dan dari beberapa aspek lain, Tasik Kenyir sudah disediakan satu tangki di mana bot-bot angkut dan bot-bot pelancong akan disalurkan ke beberapa pembentung ke satu tempat dan ia tidak sama dengan pulau-pulau yang ada di laut air masin dan laut-laut lain,” katanya.