Setiap ahli dan pemimpin parti seharusnya berjiwa besar dan mengelakkan sikap berdendam kerana situasi itu bukan sahaja tidak menguntungkan, malah akan berdepan kesukaran bagi mendapatkan sokongan sesiapa sahaja termasuk penyokong atas pagar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sikap dendam dan permusuhan hanya akan merosakkan parti Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri. Bagaimanapun, jika berjiwa besar segala perselisihan yang timbul dapat diketepikan dan kembali di kedudukan asal sebagai ahli parti sebaik sahaja selesai pemilihan calon.


Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, orang Umno sendiri perlu kembali menyokong Umno kerana atas faktor itu sahaja sudah cukup untuk mengembalikan kemenangan BN.
“Sebab itu adalah satu perkara utama yang memberi peluang begitu besar untuk BN kembali memerintah Kedah. Insya-Allah, dengan kehendak Allah Ta’ala. Yang pentingnya semangat persefahaman, kerjasama di kalangan jentera parti kita, akar umbi kita tanpa memikirkan siapa calon. Yang penting, parti kita (BN) mesti menang,” katanya.
Menteri Besar berkata, inilah masa paling sesuai untuk semua ahli dan pemimpin Umno kembali bersatu seterusnya menangkis segala penghinaan yang dilontarkan oleh pembangkang, sedangkan pembangkang tidak pernah berjasa dan bertanggungjawab kepada rakyat sebagaimana budi yang ditaburkan oleh Umno.
Katanya, Umno harus bangkit menawan semula di kerusi yang tewas dan mengekalkan kemenangan sebelum ini supaya Pas tidak sewenang-wenangnya meuar-uarkan kepada rakyat segala nikmat dan kemudahan dihasilkan oleh mereka.
“Kita mesti melihat dan memuhasabah diri. Hari ini kita lihat orang lain semakin berani menuntut hak mereka ataupun menuntut hak kita supaya diberi kepada mereka kerana kita lemah. Bila kita lemah, contoh mudah adalah apabila kita berniaga, kita cari rakan kongsi. Pernah atau tidak, dalam perkongsian yang kaya cari yang miskin untuk jadi rakan kongsi..Tidak ada. Tidak akan berlaku. Kecuali, apabila kita kaya orang datang hubungi kita. Kalau kita kuat, orang akan bantu kita. Kalau kita lemah, orang tidak akan menghiraukan kita.
“Sekarang kita lihat bagaimana masyarakat cina, masyarakat india telah cuba menjauhkan diri sebab kita lemah. Tapi, bila kita kuat, mereka akan datang balik. Ini kita mesti faham, penghakisan kuasa Melayu ini kerana kita berpecah, adanya Pas..adanya PKR dan sebagainya,” katanya lagi.
Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pemimpin dan ahli BN serta Umno berdukacita disebabkan Pas sanggup bersengkongkol, bekerjasama dan berbaik dengan DAP serta parti lain sehingga sanggup menolak Umno walaupun pembangkang mendakwa perjuangan mereka berpaksikan agama Islam.
