Kerajaan negeri akan membina semula tiga rumah teres yang musnah dalam kejadian kebakaran, di Taman Perumahan, Wakaf Tengah, Kuala Terengganu, tengah hari kelmarin, dalam tempoh terdekat .
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata rumah itu akan dibangunkan di bawah skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang masing-masing bernilai RM33,000.
Katanya, pihaknya sudah mengarahkan kontraktor yang dilantik supaya menyegerakan pembinaan itu.
“Empat rumah lagi yang dinilai hangus antara 30 hingga 50 peratus yang turut terbabit dalam kejadian sama turut dibaiki bergantung kepada kerosakan dialami,” katanya yang mengadakan lawatan di tempat kejadian, petang semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Yang Berhormat Muhammad Ramli Nuh da beberapa pemimpin setempat.
Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira 12.20 tengah hari itu bermula dari rumah di bahagian tengah yang terbakar sebelum merebak ke enam rumah lain.
Seramai 28 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu dan Jalan Kota, Kuala Terengganu, dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dikawal pada jam 1.15 petang.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata empat pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang turut terlibat dalam kejadian itu ditempatkan di asrama universiti itu manakala mangsa yang lain menumpang rumah saudara mara.
"Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung telah menyewa sebuah rumah bagi menempatkan sebuah keluarga yang rumahnya hangus itu. Keluarga ini mempunyai anggota keluarga yang ramai," katanya.
Pada lawatan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberi bantuan RM2,000 setiap seorang kepada tiga pemilik rumah yang hangus itu, pemilik dua buah rumah bersebelahan rumah yang hangus itu masing-masing menerima RM1,000 dan pemilik dua buah rumah lain masing-masing menerima RM500.