Halaman

15 September 2012

Masyarakat yang faham tulisan jawi turut hampir dengan al-Quran-MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan percaya masyarakat yang faham dan dekat dengan tulisan jawi akan turut hampir kepada kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup setiap muslim.


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap di Majlis Perasmian Terengganu International Islamic Art Festival di Taman Tamadun Islam

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, al-Quran diwahyukan dalam Bahasa Arab yang pada asasnya menggunakan tulisan jawi sebagai pengantara penulisannya.

“Umpama bertasbih, bait-bait penulisannya berterusan mengingatkan kita kepada ayat-ayat suci Allah swt dan begitulah hampirnya tulisan khat yang menjadi nadi kepada penulisan al-Quran,” katanya di majlis perasmian Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF 2012) di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan festival berkenaan. Turut hadir Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pengarah TTI Datuk Haji Zuber Embong.

Katanya, festival kali ini membawa kelainan daripada kebanyakan festival seumpamanya yang pernah dianjurkan didalam mahupun luar negeri dengan memperkenalkan cabang lain termasuk batik-khat yang mengabungkan tradisi pembuatan batik Terengganu menggunakan motif tulisan jawi.

“Turut diperkenalkan muzik-khat iaitu suatu persembahan muzikal berkonsepkan zikir yang dialun dengan permainan peralatan muzik tradisional,” katanya.

Menteri Besar berkata, pengiktirafan terhadap festival ini oleh pihak OIC Research Institute of Islamic History Art and Culture (IRCICA) menjadi matlamat kerajaan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.



Katanya, IRCICA yang menjadi badan pengawas bagi aktiviti kesenian negara-negara Islam itu bersetuju dan menyokong kegiatan aktiviti kesenian Islam khususnya dalam bidang kaligrafi Islam melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam.

Tambahnya, kerajaan negeri akan melaksanakan usaha berterusan untuk memertabatkan tulisan jawi melalui konsep memasyarakatkan tulisan jawi dalam persekitaran kehidupan rakyat di negeri ini.