Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu menggandakan usaha bagi menarik minat golongan muda menceburi bidang pembuatan tembaga sebagai langkah menyelamatkan industri kraf warisan Terengganu sejak beratus tahun dahulu itu daripada terus malap.
Pengarahnya, Encik Khairul Hafizi Naharuddin (gambar), berkata selain kelas dan bengkel, kraftangan turut menyediakan insentif khas kepada golongan muda supaya melibatkan diri dalam industri itu.
Malah, pihaknya turut mencari jalan untuk memperelokkan lagi tembaga dan juga bahan yang digunakan bagi menghasilkan produk tradsional itu.
Sehingga kini, hanya terdapat 13 pengusaha kraf itu yang masih bertahan di seluruh Terengganu dengan majoriti mereka berusia 55 tahun ke atas.
Antara produk tembaga yang dijual di Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu
“Perusahaan tembaga itu boleh ditemui di Kampung Ladang, Kampung Pulau Rusa, Kampung Losong dan beberapa kampung lain di bawah Satu Daerah Satu Industri (Sadsi).
“Walaupun hanya 13 pengusaha, jualan tembaga amat memberangsangkan apabila mampu mencecah sehingga RM2 juta sepanjang Januari hingga Ogos lalu,” katanya kepada media di Majlis Aidilfitri Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, di Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Anyaman lidi nipah (lekar) dan daun mengkuang juga terdapat di Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu
Encik Kharul Hafizi berkata, jualan yang tinggi membuktikan industri kraf yang hanya terdapat di Terengganu itu menerima permintaan yang cukup tinggi berbanding penawaran yang rendah disebabkan pengusaha yang kian berkurangan dari masa ke semasa.
Katanya, kebanyakan peminat tembaga sanggup ke Terengganu untuk mendapatkan produk kraf itu berikutan kualiti serta cara pembuatan tradisionalnya yang menepati citarasa pelanggan berbanding produk itu yang diimport dari negara luar.
“Macam saya orang luar (Terengganu) jika saya mahu membeli tembaga, saya tidak akan membeli tembaga di Kuala Lumpur tetapi saya akan datang ke sini (Terengganu) sambil melancong dan mendapatkannya di tempat jualan sperti di Pasar Kedai Payang,” katanya.