Halaman

10 September 2012

OKU bersyukur dapat tunai haji

Oleh; Esah Abdullah



Alhamdulillah, hajat untuk menunaikan rukun Islam kelima tercapai tahun ini, kata Encik Rosmizan Ramli, 34, seorang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.

Beliau adalah antara 1,800 bakal jemaah haji dari negeri ini yang sedang mengikuti kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri baru-baru ini.

Rosmizan yang berkelulusan Sijil Perkomputeran dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak itu tidak menjadikan kecacatan yang dialami pada kedua belah kaki itu akibat demam panas ketika berusia 10 bulan sebagai halangan untuknya menjalani kehidupan seperti insan lain.

“Saya gembira kerana akan ke Mekah bersama ayah dan emak, moga kami bertiga dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Sementara itu bapa Rosmizan, Haji Ramli Ahmad, 65 ketika ditemui berkata, melihat kesungguhan anaknya yang ingin ke Tanah Suci, beliau telah menghantar surat rayuan kepada pihak Tabung Haji untuk mengiringi anaknya seorang OKU.

“Al hamdulillah, memang rezeki dia dan sudah sampai jemputan Allah untuknya,” katanya yang turut ditemani isteri Hajah Semek Mokhtar, 58.

Kursus Haji Perdana selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang hadir bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, Haji Abdul Halim Md Jamil dan Pengarah TH Terengganu Haji Mokhzani Mokhtar.