Halaman

09 September 2012

Program `3 dalam 1' di Teluk Pasu dibanjiri 10,000 tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Persandingan 10 pasangan pengantin secara serentak mencipta sejarah tersendiri apabila diadakan bersekali dengan sambutan Kemerdekaan Negara ke-55 dan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN itu, malam semalam (8 September).

Menteri Besar dan isteri merenjis air mawar kepada pasangan pengantin.

Tuan rumah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said menyifatkan program tiga dalam satu – Merdeka, Raya, Bersanding secara serentak itu berjaya mencapai matlamat apabila mendapat sambutan lebih 10,000 tetamu di kalangan penduduk setempat termasuk keluarga dan saudara-mara pengantin.

“Pertama kali majlis tiga dalam satu iaitu merdeka, raya dan meraikan 10 pengantin yang bersanding sekali gus termasuk dalam program warisan di mana persandingan berlangsung dalam budaya orang Melayu. Mereka ditepung tawar dan direnjis (air mawar) oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri (Norliza Mahmud).


“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada yang hadir dan memeriahkan majlis ini yang dianggarkan sekitar 10,000 orang,” katanya.

Sementara itu, sepasang pengantin, Ridzuan Muhammad, 27, dari Buluh Gading, Manir dan isterinya, Rohadayu Muhamad, 23, dari Kebor Air, Manir begitu teruja dengan kehadiran pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri, To’ Puan Seri Norliza yang turut menyaksikan dan menepung tawar mereka ketika di pelamin, sekali gus dapat mengabadikan momen indah di hari penting mereka itu.

“Kenangan ini cukup indah dan bersejarah. Kami amat gembira kerana pertama kali MB sudi hadir ke majlis seumpama ini melibatkan persandingan lim pasangan pengantin serentak di mana kami berpeluang menjadi satu daripada pasangan bertuah itu.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak terutama pemimpin di DUN Teluk Pasu, Parlimen Kuala Nerus serta Kerajaan Terengganu yang menganjurkan acara yang cukup bermakna ini,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi satu lagi pasangan pengantin, Ahmad Shukri Sa’aidy, 26, dari Kampung Tanjung Bunut, Manir dan isteri, Rosnah Mohamad, 27, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu.


Mereka merasa bangga kerana berpeluang diraikan dalam majlis besar-besaran anjuran pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

“Program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim di kalangan peserta, malah berjaya menyemarakkan warisan dan adat Melayu dalam acara persandingan dengan disaksikan lautan tetamu di lokasi yang mudah dikunjungi.

“Bagaimanapun, kehadiran Menteri Besar dan isteri sesuatu yang lebih utama dan amat bermakna dan sukar dipercayai. Bukan semua orang dapat peluang terbaik sebegini,” katanya.