Halaman

14 September 2012

Kerajaan guna Manis FM salur maklumat kepada rakyat


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu akan menggunakan Radio Manis FM sebagai medium utama bagi menyalurkan pelbagai maklumat mengenai dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat penerangan yang jelas mengenai dasar kerajaan dan tidak diseleweng oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, selain penyaluran informasi Manis FM juga bertindak sebagai medium hiburan yang tidak melampau bagi menghiburkan penduduk tempatan dan negeri-negeri berdekatan yang menerima siaran tersebut.

“Selain Terengganu, Manis FM boleh didengar penduduk di Kelantan, Pahang, Johor Timur dan Selatan Thailand,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Radio Manis FM, pagi semalam.

Beliau yang turut diringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, bersiaran secara langsung dari konti Manis FM selama kira-kira setengah jam mulai jam 8.30 pagi semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Menteri Besar berkata, pihaknya sedang berusaha memperkemaskan lagi siaran radio berkenaan dengan mempelbagaikan segmen bagi menambat hati pendengar.

“Pada masa yang sama kita juga akan berusaha memperluaskan kawasan penyiaran agar ia dapat didengar di lebih banyak kawasan di seluruh negara,” tambahnya.