Halaman

10 September 2012

HAYATI SEJARAH KEHIDUPAN BANGSA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Sesekali kita perlu juga kita menoleh ke belakang, melihat sejarah dan kehidupan bangsa kita di masa lalu, guna menjadi panduan kepada kita untuk membuat perbandingan masa kini dan masa lalu.

Sejarah dan kenangan lalu boleh menjadi iktibar kepada kita semua, menjadi pandu arah untuk kita menuju ke destinasi zaman hadapan dengan selamat.

Di dalam al-Quran sendiri banyak kisah-kisah sejarah dipaparkan untuk dijadikan iktibar dan penghayatan .

Generasi yang lahir era televisyen warna (1980 an) tentu sukar untuk menghayati penderitaan dan sengsara bangsa mereka di masa lalu.

Kemungkinan mereka tidak berminat lagi kerana leka dengan kesenangan dan kemakmuran dan nikmat yang mereka kecapi sekarang dan sejarah bagi mereka hanyalah untuk dipelajari bagi lulus peperiksaan semata-mata.

Sebahagiannya, jauh sekali untuk menghayati penderitaan bangsa mereka sewaktu zaman makan ‘ubi kayu” , zaman penjajahan bangsa mereka yang hidup dalam serba kekurangan, kedaifan dan kemelaratan.

Mereka tidak pernah tahu menghayati derita zaman kelaparan ketiadaan makanan, tiada pakaian,malah suami isteri berkongsi pakaian untuk tunaikan solat.

Mungkin mereka tidak percaya akan cerita itu semua dan mungkin menganggap dongeng semata-mata.

Generasi baru ini tidak pernah berjalan kaki atau naik basikal ke sekolah dengan jarak yang berbatu-batu. Mereka tidak pernah kenal nasi dalam upih dan bekal air dalam botol kicap untuk ke sekolah.

Apatah lagi, jauh sekali, mereka sudah tentu tidak pernah tahu wujudnya ‘papan selit’ atau papan ‘slate’ atau papan dan kalam batu, kerana mereka kini sudah memiliki komputer riba, ‘e-book’ dan pelbagai perlatatan moden.

Bagi murid-murid sekolah Melayu pada masa lalu papan ini dipanggil papan selit. Ada yang menyangka ia dipanggil papan selit kerana kebanyakan murid-murid membawa ke sekolah dengan cara menyelit di bawah ketiak sahaja, rupa-rupanya perkataan selit itu berasal dari perkataan Inggeris iaitu ‘slate’.

Bagaimanapun selain dari nama papan selit, papan ini biasanya dikenali dengan nama papan batu kerana papan tersebut asalnya diperbuat dari batu loh. Sebab itu masa membawa atau menggunanya kita harus berhati-hati kerana papan ini boleh pecah jika terjatuh.

Zaman dahulu tidak Taska, Taski, Kindergarten semuanya masih belum ada lagi.
Yang ada sekolah darjah satu, mula belajar menulis huruf jawi dan rumi.

“Sebab itu Cikgu kami akan membuat garisan-garisan pada kedua-duapermukaan papan selit tersebut. ‘Garis Dua’ untuk huruf jawi dan "’Garis Tiga’ untuk huruf rumi.

Kami juga akan membawa sebotol kecil air biasa, kain buruk atau sabut kelapa yang akan digunakan sebagai pemadam tulisan apabila hendak memadam tulisan-tulisan yang salah atau pun tulisan-tulisan yang sebelumnya,” beritahu seorang bekas guru yang kini telah berusia akhir 60 an.

“Saya masih ingat lagi salah seorang kawan sedarjah yang selalu tidak membawa air pemadam. Untuk memadam tulisannya dia sering menggunakan air liur dan ditenyeh pada permukaan papan selit dengan ibu jari” ceritanya.

“Nak jadikan cerita, suatu hari cikgu sudah nampak dia ludah kat papan selit untuk memadam tulisan, lalu cikgu merampas papan selitnya itu,” beritahunya lucu.

Penggunaan papan selit ini dihentikan dan diganti dengan buku. Kalau tidak silap pada tahun 1962 atau 1963 (kepada mereka yang ingat, tolong perbetulkan tahun yang tepat).

Marilah kita ajak mereka renung bersama sejarah bangsa di masa lalu, supaya dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam diri mereka.

Mereka boleh membuat perbandingan tentang perubahan terhadap bangsa dan negara mereka dulu dan sekarang, hasil pentadbiran sendiri dan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan yang dibina oleh rakyat sendiri.

Jika itu semua mereka hayati dan insafi sudah tentu tidak berlaku perbuatan-perbuatan tidak senonoh menghina gambar Perdana Menteri, perbuatan hendak menggantikan bendera jalur gemilang dan seumpamanya atas nama penentangan kepada
sebuah kerajaan sendiri.

Ingat dulu datuk nenek kita dengan segala kepayahan menentang penjajah yang menindas mereka sehingga akhirnya memperolehi kemardekaan dan membentuk kerajaan sendiri.

Kalau generasi baru insafi ini semua, bersyukur dan berterima kasih kepada pejuang bangsa masa lalu, sudah tentu mereka tidak sanggup untuk meruntuhkan kerajaan sendiri yang diwujudkan hasil kemardekaan ini.

Marilah sama-sama kita membantu memberi pengetahuan kepada generasi baru ini tentang sejarah, kehidupan dan perjuangan bangsa mereka di tanah air tercinta ini.