Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    2 months ago

10 September 2012

Juadah tradisional Terengganu disajikan di Kuala Lumpur

Oleh: Aida Abd Rahman
Bermula tahun depan, sesiapa sahaja yang berada di Kuala Lumpur dan mahu menikmati pelbagai juadah tradisional Terengganu boleh mendapatkan sajian itu tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh berikutan Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur akan menyajikannya secara berterusan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Bukan sahaja makanan yang sudah dikenali, seperti keropok lekor, laksam, ketupat sotong, otak-otak, lepat pisang, belebab pisang, rojak betik, satar dan laksa Terengganu, malahan nama makanan yang segelintir di kalangan kita sukar mengingatinya seperti akok, puli ubi kayu, tok aji serban, lompat tikam, mas jemput dan che abas demam juga akan tersedia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata usaha memperkenalkan dan menyediakan makanan Terengganu di ibu kota itu sebagai kesinambungan pesta makanan yang bermula 4 Shingga 10 September yang juga permulaan kepada acara promosi TMT 2013.

Katanya, inisiatif Hotel Seri Pasific bekerjasama dengan Hotel Primula, Terengganu menganjurkan Pesta Makanan dan Kebudayaan Terengganu di ibu kota itu merupakan langkah terbaik dalam merancakkan industri pelancongan kedua-dua negeri sekali gus memperkenalkan keunikan dan keistimewaan makanan Terengganu.

“Apa yang menarik adalah kita menggabungkan kepakaran tukang masak dari Hotel Seri Pacific dan Primula, sementara kerajaan negeri bekalkan bahan mentah bagi mengekalkan keaslian dan kualiti makanan itu.

“Kerjasama restoran Seri Pacific menyediakan bufet makanan Terengganu secara sepenuhnya untuk (jangkaan) tempoh seminggu di mana orang ramai boleh mendapatkan makanan Terengganu di Kuala Lumpur,” katanya di Majlis Karnival Raya Homestay 2012 dan Program Titian Kasih PPPNT, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam (9 September).

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria.

Dato’ Abdul Rahin berkata, sambutan yang amat baik terhadap makanan Terengganu itu mendorong kerajaan negeri untuk meneruskan program ini pada tahun depan, selain faktor kos yang rendah berikutan dibayar oleh pelanggan hotel, kecuali kos bahan mentah ditanggung kerajaan negeri.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak untuk mempromosikan produk makanan tradisional dan kebudayaan sebagai usaha merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu.