Halaman

11 September 2012

Risda belanja RM13.5 juta untuk TSGG

Oleh; Esah Abdullah

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Terengganu telah membelanjakan RM13.5 juta untuk pembangunan program Tanam Semula Getah ke Getah (TSGG) dan program sokongan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Haji Zakaria Mat Zin berkata, peruntukan keseluruhan yang diterima tahun ini sebanyak RM18.35 juta dan setakat ini hampir 80 peratus telah dibelanjakan.

“Perbelanjaan berkenaan membabitkan kawasan seluas 1,050 hektar seluruh negeri,” katanya kepada pemberita di majlis Sambutan Hari Raya Risda negeri , di Dewan Majlis Daerah Marang hari ini.

Katanya, selain program TSG pihaknya juga melaksanakan program Tanam Semula Sawit ke Sawit (TSSS) dan Tanam Baru Komoditi Getah (TBKG).

Menurutnya, permohonan bantuan tanam semula boleh dibuat sepanjang masa dan hendaklah menggunakan borang yang boleh diperolehi dari semua Pejabat RISDA Negeri (PRN) dan semua Pejabat RISDA Daerah (PRD) secara percuma.

Berhubung dengan sambutan majlis Aidilfitri tahun ini, Haji Zakaria berkata , pihaknya telah mengabungkan kesemua anak-anak syarikat Risda dengan membuka 12 gerai yang menghidangkan pelbagai menu tempatan.

“Kerja keras semua yang terbabit dalam menjayakan majlis ini begitu terserlah sekaligus mengeratkan ikatan silatulrahim antara kakitangan negeri, daerah dan anak syarikat yang sama-sama bergabung tenaga menjayakan majlis ini,” katanya.