Halaman

13 September 2012

Terengganu selesai banyak kes pemilikan tanah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu mampu menyelesaikan banyak kes berhubung tanah di negeri ini, termasuk pemberian hak milik kepada penduduk yang layak disebabkan penggunaan teknologi maklumat secara meluas dalam sistem pentadbiran tanah.


Menteri Besar ketika ditemuramah oleh penyampai radio secara langsung di konti Manis FM

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dalam tempoh empat tahun lalu 11,000 lot tapak rumah di seluruh negeri diberi hak milik manakala 7,000 kes pemilikan tanah pertanian juga dapat diselesaikan.

“Pencapaian ini amat membanggakan kerana kerajaan negeri memberi fokus kepada usaha menyelesaikan hak milik tanah di seluruh negeri,” katanya ketika menjadi tetamu Radio Manis FM, pagi ini.

Beliau yang turut diringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, bersiaran secara langsung dari konti Manis FM selama kira-kira setengah jam mulai jam 8.30 pagi tadi.


Kakitangan Manis FM tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pemimpin kesayangan mereka ketika majlis Aidilfitri yang dianjurkan oleh di pejabat mereka

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Menteri Besar berkata, pada masa ini Pejabat Tanah dan Galian negeris serta semua pejabat tanah daerah menggunakan sistem talian terus e-Tanah, e-Mohon dan e-Consnet, bagi mempercepatkan pelbagai urusan berkaitan tanah, termasuk pemilikan, tukar nama pemilikan dan penggadaian.

“PTG Terengganu telah menfapat pelbagai pengiktirafan dan hadiah kecemerlangan kerana mampu menyelesaikan masalah tanah dalam masa yang singkat berbanding negeri lain,” tambahnya.