Halaman

17 September 2012

GAGASAN MERAKYAT AHMAD SAID KIAN TERSERLAH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bahagian Kedua

Gagasan “merakyat’ yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sebaik sahaja dilantik Menteri Besar Terengganu, sebenarnya kian diperkatakan oleh banyak pihak.

Terbaru Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru Datuk Dr Ali Hamsa meminta penjawat awam meningkatkan prestasi perkhidmatan bagi ‘merakyatkan” perkhidmatan awam kepada masyarakat di negara ini.

Dato’ Seri Ahmad menyebut ‘merakyatkan pentadbiran’ dan Ketua Setiausaha Negara menyebutnya sebagainya ‘merakyatkan perkhidmatan awam’, tetapi hakikatnya sama iaitu perkhidmatan awam dan pentadbiran mestilah menjuruskan faedah yang setingginya untuk rakyat.

Kita sudah sekian lama mardeka, sekian lama memiliki kerajaan sendiri, kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sudah tentu rakyat menjadi keutamaan dalam setiap jurus pembangunan.

Dr.Ali Hamsa berkata penjawat awam merupakan golongan yang bertanggungjawab dalam menyampaikan segala tindakan dan dasar kerajaan serta menjadikan rakyat sebagai teras kepada segala gerak kerja yang dilakukan.

"Anggap diri kita (penjawat awam) sebagai rakyat kerana sudah pasti kita akan melaksanakan apa yang diamanahkan kerajaan dengan lebih komited.Mari kita (penjawat awam) merakyatkan perkhidmatan agar khalayak sasaran kita (rakyat) merasai segala pelan dan dasar yang kerajaan rancangkan untuk mereka," katanya pada majlis perasmian Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) bil. 1/2012 di Institut Tadbir Awam Negara (INTAN), baru-baru ini.

Rakyat Terengganu tentunya berbangga kerana mempunyai seorang Menteri Besar yang kecenderungannya ialah menolong rakyat.

Sesuatu yang tidak boleh dinafikan amat besar perbelanjaan kerajaan negeri masa kini adalah menjuruskan kepada kebajikan rakyat, pertolongan untuk rakyat dalam berbagai bentuk dan kaedah.

Perkara asas bagi semua orang ialah terutama tempat tinggal (perumahan) menjadi tumpuan Menteri Besar yang mesra dipanggil rakyat sebagai “Mat Said”.

‘Mat Said’ walaupun bersahaja sifatnya, banyak mengenepikan soal protokol dalam banyak perkara semata-mata untuk mendekati rakyat, tetapi itulah gaya asalnya, anak kelahiran Kijal dari sebuah keluarga petani atau pemanjat kelapa (Tok Nyadat) yang hidup dengan serba kekurangan di zaman kanak-kanak.

Sebulan lepas, seorang buruh yang bekerja membersih wad di Hospital Nur Zahirah memberitahu kepada penulis, suatu hari dia dan rakan-rakannya makan roti canai di sebuah warung di hadapan hospital berkenaan.

“Tiba-tiba datang Menteri Besar makan bersama mereka dan belanja kami semuanya. Sebagai golongan yang kerja begini, kami berbangga mempunyai seorang Menteri Besar seperti ini yang sanggup makan bersama kami di warung,” katanya terharu.

(BERSAMBUNG)


(SIRI SEBELUMNYA)