Halaman

17 September 2012

Kraftangan Terengganu sasar peningkatan 40 peratus tembaga sempena TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu mensasarkan peningkatan sehingga 40 peratus jualan produk tembaga sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengarahnya, Encik Khairul Hafizi Naharuddin (gambar), berkata keyakinan itu berdasarkan kepada permintaan tinggi daripada peminat kraf berkenaan terutama di kalangan pelancong luar Terengganu sejak dari dulu lagi.

Malah, sepanjang tahun ini (Januari hingga Ogos), jualan produk kraf menerusi Satu Daerah Satu Industri yang hanya terdapat di Terengganu serta terkenal berikutan keaslian dan kualiti pembuatannya itu berupaya mencecah sehingga RM2 juta.

“Saya tidak mahu mensasarkan jumlah jualan yang tinggi, namun yakin produk yang hanya terkenal di Terengganu itu dapat meningkat sehingga 40 peratus pada tahun depan (TMT 2013) dari aspek jualan, dibantu pula dengan kewujudan usahawan baru dan juga fasiliti baru,” katanya di kepada media di Majlis Aidilfitri Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, di Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, Encik Khairul Hafizi berkata pihaknya juga menggandakan usaha bagi menarik minat golongan muda menceburi bidang pembuatan tembaga sebagai langkah menyelamatkan industri kraf warisan Terengganu sejak beratus tahun dahulu itu daripada terus malap.

Menurutnya, selain kelas dan bengkel, kraftangan turut menyediakan insentif khas kepada golongan muda supaya melibatkan diri dalam industri itu serta berusaha memperelokkan lagi tembaga dan juga bahan yang digunakan bagi menghasilkan produk tradisional tersebut.

Sehingga kini, hanya terdapat 13 pengusaha kraf itu yang masih bertahan di seluruh Terengganu dengan majoriti mereka berusia 55 tahun ke atas.

Antara produk tembaga mendapat permintaan tinggi di kalangan pelanggan termasuk bekas cincin, bekas renjis air mawar, bekas serbaguna, pahar, pasu dan mangkuk.