Halaman

17 September 2012

PKMM sokong MB


Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menyokong penuh pandangan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang hanya memberi peluang kepada kontraktor yang berkualiti dan berintegriti untuk menyiapkan projek kerajaan.

Naib Presiden PKMM Dato’ Mohd Rosdi Abdul Aziz (gambar) berkata, dalam dunia hari ini jika ingin merebuat peluang dari kerajaan atau swasta perlu persiapkan diri untuk menjadi kontraktor berwibawa dan berkualiti.

“Sebagai seorang kontraktor perlulah mematuhi syarat yang diberikan dalam tender kerja serta ketepatan masa sesuatu projek agar tidak mendatangkan kerugian kedua belah pihak,” katanya kepada pemberita di Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 PKMM Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Pengerusi PKMM Terengganu, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Dalam ucapan perasmian, Menteri Besar bertegas untuk menyenaraihitam mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek atau projek siap tetapi tidak memenuhi syarat tender yang diberi.

Katanya, sekiranya kontraktor tidak menepati kualiti yang disyaratkan oleh pihak kerajaan sudah pasti kesan negatif akan kembali kepada kerajaan yang akan dipersalahkan oleh rakyat.

“Saya menyeru kepada semua kontraktor alaf baru ini agar menyahur cabaran ini agar memperlengkapkan diri sebagai kontraktor yang berkualiti untuk bersaing dengan bangsa lain yang lebih jauh terkedepan,” katanya.

Menurutnya semua kontraktor perlu pro aktif untuk mencari peluang hingga ke negara luar dan jika tidak segala peluang yang datang menjadi halangan besar untuk berjaya manakala peluang dalam negara direbut oleh kontraktor bangsa lain.