Halaman

17 September 2012

Terengganu yakin UPSR terus capai kedudukan terbaik

Oleh: Suriati Ali

Terengganu yakin dapat mempertahankan kedudukannya sebagai negeri terbaik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) buat kali ke-12 berturut-turut pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keyakinan itu berdasarkan peningkatan penglibatan komuniti setempat bersama guru dan murid.

Katanya, Istimewanya di Terengganu, terdapat segelintir ibu bapa yang bekerja sanggup mengambil cuti sepanjang peperiksaan berlangsung semata-mata mahu menemani anak dengan membaca yasin dan menunaikan solat hajat di surau sekolah.

" Terdapat sekolah menyediakan makan minum secara percuma kepada murid sebelum menduduki UPSR, ini membuktikan betapa prihatinnya pengurusan sekolah dalam memastikan kebajikan murid terjaga.

"Inisiatif yang diambil oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ini adalah sebahagian contoh betapa pendidikan kini menjadi tangungjawab semua pihak, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai kuasa baharu dunia pendidikan tanah air," katanya.

Penyediaan makanan berkhasiat secara percuma itu adalah untuk memastikan murid kekal bertenaga sepanjang menjawab soalan dengan nutrien penting, sebagai satu usaha PIBG untuk persediaan fizikal murid.