Terengganu bakal memiliki satu lagi produk pelancongan baru sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan apabila pusat penempatan gajah atau kem gajah yang dibangunkan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dijangka siap Februari ini.
Menteri Besar menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata konsep itu diperkenalkan di Terengganu dengan mengambil contoh beberapa pusat penempatan dan pelancongan terkenal seperti di Chiang Mai, Chonburi (Thailand) dan Kuala Gandah (Pahang).
“Kita akan mewujudkan tiga komponen, satu (kawasan) gajah jinak yang boleh melukis, bermain bola dan mandi bersama gajah. Malah, di situ juga ada kawasan menyusuri hutan dan kita mengenal pasti lokasi air terjun..pengunjung menaiki gajah dan menyusuri bawah air terjun. Selain itu, terdapat sungai yang cantik yang boleh dijadikan kawasan perkelahan.
“Kesemua gajah ini akan membuat persembahan di depan pengunjung dan haiwan ini akan dilatih oleh jurulatih daripada Thailand,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), malam semalam (18 september).
Para pelajar UMT gembira menerima Kad Diskaun Siswa di Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Menuntut di Universiti Malaysia Terengganu
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd Said dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Yahaya Ibrahim.
Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, buat permulaan lapan ekor gajah akan dibawa ke kem itu, sebelum tambahan dua ekor lagi untuk menjadikan kesemuanya 10 ekor yang diagihkan ke tiga komponen utama itu.
Sementara itu, beliau berkata, komponen kedua akan menempatkan gajah separuh liar yang dibiarkan bebas di kawasannya, sementara pengunjung boleh meninjau lokasi itu dengan menyusuri jambatan gantung.
Menurutnya, empat stesen turut dibina bagi menghubungkan jambatan gantung berkenaan dengan satu daripadanya stesen paling tinggi yang membolehkan pengunjung meninjau keseluruhan kawasan Empangan Kenyir.
“Sementara (komponen) ketiga, di luar pagar elektrik, kita menyediakan pelantar yang berada pada kedudukan tinggi untuk keselamatan.. di situ kita sediakan makanan mungkin dua kali sehari untuk sesi pagi pada 11 pagi hingga 1 petang, dan waktu petang pula pada 1 hingga 3 petang .
“Pengunjung yang memasuki kawasan itu perlu membuat bayaran disebabkan kos menyediakan makanan untuk gajah mahal. Jadi kalau mereka mahu melihat gajah liar dan memberi makan gajah perlu dikenakan caj lain pula, selain bayaran masuk untuk ke kem berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, fasa terakhir projek kem gajah berkenaan adalah kerja menyiapkan dua chalet (permulaan) atas pokok, di mana pengunjung yang mahu menginap di situ akan dibawa oleh gajah jinak ke pusat penginapan itu sebelum pengunjung perlu menggunakan tangga yang boleh dilipat untuk ke tempat penginapan mereka.
“Apabila tidak digunakan tangga itu akan dilipat naik ke atas bagi mengelak gangguan gajah. Gajah tidak sampai (ke chalet) bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata projek menyiapkan kem gajah itu siap 10 peratus lebih awal berbanding sasaran kerja dengan keseluruhan siap 30 peratus.
Katanya, projek yang dijadualkan siap April tahun depan dijangka dapat disiapkan dua bulan lebih awal daripada tarikh sebenar.