Halaman

19 September 2012

Ladang Rakyat catat untung besar

Oleh; Esah Abdullah

Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) telah mencatat prestasi memberangsangkan bagi kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu dengan keuntungan bersih sebelum cukai berjumlah RM48.10 juta mengatasi keuntungan bersih pada tahun sebelumnya iaitu RM12.53 juta.

Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri menyaksikan penyerahan dividen oleh kumpulan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd di Wisma Darul Iman, petang tadi. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, berdasarkan prestasi cemerlang syarikat, pemegang saham akan menerima agihan dividen berjumlah RM7.97 juta atau 43.25 peratus.

“Antaranya ialah Terengganu Incorporated sebanyak RM3.399 juta (43 peratus), Ketengah Holding RM3.049 juta (38 peratus) dan Kumpulan Ladang-ladang Terengganu RM1.524 juta (19 peratus),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid.


Katanya, keuntungan yang dicatat bagi tahun kewangan 2011 itu merupakan yang tertinggi sejak penubuhan LRTSB.

“Dengan modal berbayar RM24.58 juta dan keuntungan terkumpulan berjumlah RM127.47 juta maka ekuiti pemegang saham pada tahun itu (2011) berjumlah RM152.05 juta,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak pengurusan LRTSB telah bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Darul Iman bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat di negeri ini.

“Tabung inilah yang membantu menyelaraskan pelbagai kegiatan kemasrakatan seperti mereka yang ditimpa bencana alam, orang sakit dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu katanya, unjuran keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2012 berada sekitar RM27 juta hingga RM30 juta.