Halaman

22 September 2012

Graduan UMT pilihan raya kampus 25 Sept

Oleh: Suriati Ali

Seramai 7,738 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mengundi bagi memilih seramai 20 kerusi anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu yang dijadualkan pada 25 September ini.

 Tujuh fakulti masing-masing akan memilih dua calon pelajar fakulti serta enam anggota daripada pasca graduan akan mengisi posisi MPP bagi tahun 2012/2013 di mana tempoh penamaan calon akan ditutup pada 11 pagi, 23 September nanti.

 Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata pemilihan yang diadakan setiap tahun itu menggunakan sistem e-Undi melalui komputer, berbeza dengan universiti-universiti di pantai barat yang masih menggunakan kertas undi.

"Kita berharap ia akan berjalan lancar dan tidak ada sebarang gangguan berlaku. Cuma berbeza dengan universiti yang lebih besar di mana mahasiswa yang berkempen adalah lebih hangat kerana terdapat kelompok serta pengaruh dari luar.

 "Di sini, kami sentiasa menjaga sentimen supaya tiada perkara sensitif berlaku. Kita harap pemilihan MPP UMT tidak dimasuki unsur luar atau pengaruh politik dari luar," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian kad diskaun Siswa 1Malaysia di UMT , Kuala Terengganu, baru-baru ini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

 Dr Yahaya berkata pemenang MPP akan bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program-program sebagaimana yang dirancang dan membawa usul kepada pengurusan universiti untuk meperbaiki kemudahan dan kebajikan penuntut.

 Antara isu utama yang menjadi cabaran terhadap kepimpinan MPP ialah meningkatkan kebajikan dan ketrampilan mahasiswa, penerapan nilai-nilai murni, penanaman semangat jati diri serta menangani isu sosial dan ekonomi untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai personaliti terbaik.

 "Mereka akan mewakili universiti ke peringkat nasional bersama dengan MPP universiti lain dan banyak program yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, mereka akan mengikutinya," katanya.

 Sehubungan itu, beliau meminta calon MPP yang akan bertanding supaya tiada masalah dalam mengekalkan pencapaian CGPA yang tinggi dan berkualiti untuk menjadi pemimpin pelajar.  Tempoh berkempen bagi calon pilihan raya ialah mulai 23 sehingga 24 September ini manakala hari mengundi ialah 25 September dari 8 pagi hingga 5 petang