Halaman

22 September 2012

Kesepakatan menentang musuh Islam hindarkan fahaman politik



Oleh: Mohammad Ishak 

Protes terhadap usaha menghina agama Islam menerusi perhimpunan yang ditunjukan oleh rakyat negara ini dengan membabitkan pelbagai parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung filem “Innocence of Muslims” dan karikatur yang dikeluarkan di Perancis di beberapa lokasi seluruh negara semalam menampakkan kesepakatan umat Islam terhadap sesuatu isu sensitif yang dilakukan musuh Islam.

Walaupun perbezaan politik antara parti tetapi dalam keadaan tertentu umat Islam di negara ini dapat bersatu demi menunjukkan perpaduan Islam sebagai menzahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap pihak terbabit yang menghina Islam.

Penyertaan lebih 11,000 umat Islam berhimpun bagi membantah penghinaan terhadap agama yang turut didokong oleh Pemuda Barisan Nasional (BN), Dewan Pemuda Pas serta NGO lain termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa,Jalur Tiga (Jati), Kelab Putera 1Malaysia,Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang diadakan di ibu negara sudah tentu membuka era baru dalam menyatupadukan umat Islam.

Jika ini sering dilakukan oleh pertubuhan politik dan NGO Islam negara ini, musuh Islam akan gerun dan berhati-hati untuk melakukan sesuatu terutama yang menyentuh sensitiviti umat Islam apabila dicetuskan pihak barat.

Apa yang dilakukan semalam ia sebenarnya mengembirakan rakyat negara ini kerana dalam situasi tertentu pemimpin politik dapat mengetepikan fahaman dan ideologi masing-masing sebaliknya dapat bersatu menentang musuh Islam.

Perhimpunan yang diadakan secara aman itu juga menunjukkan rakyat Malaysia begitu matang dan mematuhi undang-undang negara dengan tiada insiden keganasan melampau yang boleh mencetuskan huru hara ketika berhimpun.

Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang gembira apabila dua perhimpunan membantah penerbitan dan penyiaran filem anti Islam itu berlangsung dalam suasana aman dan tenteram.

Menariknya perhimpunan itu turut disertai rakan kongsi BN beragama Kristian,Buddha dan Hindu bagi menyatakan bantahan mereka yang turut mengecam penghinaan agama Islam.

Perkembangan menarik pencantuman idea mengadakan perhimpunan bersama ini diharap dapat meningkatkan lagi usaha sama antara badan induk UMNO dan PAS untuk bekerjasama dalam apa jua tindakan sama ada kepentingan dalam negeri atau menentang musuh luar negara.

Malah, seperti kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Jamil Khir Baharom,protes itu untuk menyatakan ketidaksenangan dan penghinaan terhadap umat Islam supaya dunia memahami bahawa soal agama Islam jangan dipandang sewenangnya.